SINDIKET mengatur temu janji palsu sebelum mangsa ‘diculik’. FOTO Arkib NSTP
SINDIKET mengatur temu janji palsu sebelum mangsa ‘diculik’. FOTO Arkib NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai wanita jelita atau gadis comel Asia untuk menggoda serta memerangkap belia tempatan.

Itu antara modus operandi terkini sindiket scammer luar negara yang dikesan sengaja mengatur temujanji palsu sebelum mangsa 'diculik' dan dijadikan hamba abdi sindiket berpangkalan di Kemboja, Laos dan Myanmar.

Difahamkan mangsa yang berjaya dipikat akan dipujuk supaya mengambil penerbangan ke negara tertentu kononnya untuk melepaskan rindu.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, mangsa rakyat Malaysia ini sebaliknya menyedari ditipu apabila wanita dikenali melalui media sosial itu tidak wujud.

"Mereka sebaliknya dikurung dan dipaksa bekerja sebagai 'operator penipuan' bagi pihak sindiket scammer antarabangsa itu.

"Selain menyamar sebagai wanita jelita kesunyian, sindiket turut menggunakan taktik dengan 'menjemput' mangsa menghadiri pertandingan atau model fotografi di luar negara dengan kos tambang dibiayai sepenuhnya," katanya.

Micheal berkata, sindiket scammer antarabangsa terbabit terpaksa mengubah modus operandi selepas taktik sebelum ini kerap didedahkan pihak media.

"Sebelum ini sindiket gemar menawarkan pekerjaan bergaji lumayan bagi orang ramai yang sanggup berhijrah ke luar negara sebelum diperangkap.

"Tekanan berterusan dari pelbagai pihak akhirnya membolehkan sekumpulan 24 rakyat Malaysia yang ditawan sindiket di Kemboja dibawa pulang ke tanah air," katanya.

Tambahnya, mangsa diselamatkan agensi Penguatkuasa Imigresen Kemboja dan sebelum ditempatkan di depoh Imigresen negara berkenaan.

Chong berkata, lebih 50 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan daripada tawanan sindiket penipuan pekerjaan setakat ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Terrance, 39, berkata, dia berjaya pulang ke Malaysia selepas hampir tujuh bulan ditawan sindiket di Kemboja.

"Semuanya bermula apabila saya menerima tawaran bekerja di sebuah kasino di Kemboja dengan tawaran gaji bulanan AS$3,000 (RM13,000).

"Saya dibawa ke Kemboja pada 9 Januari lalu melalui laluan haram sebelum terpaksa bekerja selaku operator scammer selama kira-kira tiga bulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 8:01 AM