Rosli Ilham


Chukai: Sekumpulan gajah dipercayai menceroboh ladang sawit di Felda Neram 2, sejak sebulan lalu dan merosakkan tanaman peneroka di kawasan itu.

Peneroka Abdul Razak Said, 63, berkata, dia mengalami kerugian selepas sawit miliknya yang sudah boleh dituai dimusnahkan kumpulan gajah terbabit.

Menurutnya, serangan terbaru berlaku pada Rabu lalu apabila kira-kira lapan gajah memasuki ladang terbabit dipercayai untuk mencari makanan.

"Kumpulan gajah ini mungkin kelaparan dan masuk ke ladang kami merosakkan tanaman anak sawit termasuk yang sudah membuahkan hasil.

"Berikutan itu, kami terpaksa membuat kawalan di kebun pada waktu malam biarpun kami tahu bahaya menanti kami," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi peneroka, Adnan Mohamad, 70, berkata, untuk menanam semula sawit yang dirosakkan memerlukan modal tinggi dan mereka tidak mampu mengumpulkan wang dalam tempoh yang singkat.

ABDUL Razak menunjukkan tanaman sawit miliknya yang dimusnahkan gajah. FOTO Rosli Ilham
ABDUL Razak menunjukkan tanaman sawit miliknya yang dimusnahkan gajah. FOTO Rosli Ilham

"Selain itu, kami juga bimbang pencerobohan gajah ini boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk setempat termasuk pekerja ladang.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah gajah ini daripada terus merosakkan ladang serta mengelak kumpulan gajah ini membahayakan penduduk," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Terengganu Leo Keon Seong ketika dihubungi berkata, pihaknya akan segera menjalankan siasatan berhubung masalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 2:27 PM