Oleh Rosli Ilham


Chukai: "Sedih dan letih, saya tak tahu nak tanam apa lagi," kata Mohd Sebeli Mohd Kasim selepas tanaman pisang dan kelapa yang diusahakan di Kampung Air Putih di Kemaman dekat sini, dimusnahkan gajah liar semalam.

Selain Sebeli, 64, dua lagi rakannya yang mengusahakan tanaman sama turut mengalami nasib sama menyebabkan mereka kerugian hampir RM30,000.

Sebeli berkata, lebih 10 gajah menceroboh kebun mereka menyebabkan kira-kira 500 pokok pisang musnah.

"Kumpulan gajah itu menceroboh kebun pada awal pagi untuk mencari makanan. Ketika datang ke kebun untuk membersih dan menuai hasil jam 7.30 pagi semalam, saya dapati pokok pisang musnah.

"Memang sedih kerana sebahagian besar tanaman kami sudah mengeluarkan hasil. Ia menyebabkan kami kerugian besar," katanya.

Menurut Sebeli, kejadian itu kali kedua menimpanya.

"Tahun lalu, 37 pokok pisang dimusnahkan beruang dan kali ini, gajah pula," katanya.

Sementara itu, Sulkifli Mohd Sabri, 46, berkata, dia sudah kehabisan modal untuk memulakan tanaman semula dan berharap pihak berkaitan dapat membantu menangani masalah itu.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).

"Buat masa kini, kami membuat kawalan di kebun pada waktu malam bagi memastikan ia tidak diceroboh gajah liar," katanya.

Keadaan pokok pisang yang musnah dirosakkan sekumpulan gajah di Kampung Air Putih Kemaman.  FOTO ROSLI ILHAM
Keadaan pokok pisang yang musnah dirosakkan sekumpulan gajah di Kampung Air Putih Kemaman. FOTO ROSLI ILHAM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:05 PM