KEADAAN kaki tapir yang cedera parah akibat terkena jerat kabel dipasang pemburu haram.
KEADAAN kaki tapir yang cedera parah akibat terkena jerat kabel dipasang pemburu haram.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Taktik kejam dan tidak berhati perut! Itu luahan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim terhadap penemuan puluhan jerangkap samar yang dihasilkan khusus untuk mencederakan gajah liar.

Objek digelar jerangkap paku gajah itu sengaja dihasilkan menggunakan paku besar dan berkarat bagi mencederakan gajah yang memijaknya.

Beliau berkata, kes itu dibongkar susulan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Utara membabitkan 10 anggota Perhilitan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Hutan Simpan Chebor, Padang Terap, Kedah.

“Operasi ini diadakan kelmarin bagi mengesan sebarang bentuk jenayah membabitkan pemburuan hidupan liar dilindungi.

“Bagaimanapun pada jam 1 tengah hari, pasukan operasi yang membuat pemeriksaan menemui objek mencurigakan.

“Hasil penelitian kemudian mendapati objek besi dan paku itu disyaki jerangkap paku gajah. Terdapat 62 unit jerangkap paku dipasang di kawasan itu,” katanya.

TAPIR jantan yang mati akibat terkena jerat kabel di Ladang Delima, Kuala Rompin, Pahang,
TAPIR jantan yang mati akibat terkena jerat kabel di Ladang Delima, Kuala Rompin, Pahang,

Menurutnya, semua jerangkap paku yang ditanam di kawasan Hutan Simpan Chebor itu dikutip dan dimusnahkan sebelum dibawa ke pusat operasi di Gerik untuk tindakan lanjut.

“Tidak dapat dipastikan individu yang memasang perangkap ini namun saya percaya jerat ini dipasang pengusaha ladang kelapa sawit haram bagi menghalang gajah liar daripada memasuki kawasan ladang tanaman mereka.

“Taktik ini kejam kerana boleh mencederakan tapak kaki gajah. Luka ini biasanya lambat untuk pulih dan akan merebak akibat jangkitan kuman. Ia akhirnya boleh membawa maut kepada gajah berkenaan,” katanya.

Ini antara kes penganiayaan terbaru terhadap gajah selepas seekor gajah ditemui mati berhampiran Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang, Johor pada 12 Disember lalu.

Dalam kes itu, pegawai Perhilitan menemui 20 biji nanas yang dipercayai sengaja dicampur racun untuk membunuh gajah liar itu.

Dalam kejadian berasingan 4 Jun lalu, tiga gajah ditemui mati di Kampung Sri Timur 3, Kluang, selepas dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:30 AM