Hazsyah Abdul Rahman


KIRA-KIRA 40 ekor gajah ‘menginap’ di keliling rumah seorang petani di Kampung Sukau, Kinabatangan, selama beberapa hari dan turut merosakkan pelbagai tanaman di kawasan seluas lebih 16,000 meter persegi (1.6 hektar).

Lebih menyedihkan, ia kali kedua tanaman seperti kelapa sawit, pisang dan kelapa itu baru sahaja ditanam dirosakkan haiwan terbabit.

Abduk Ghani Kosoi, 62, berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad hingga Rabu lalu.

“Pada minggu lalu, kira-kira 40 gajah datang di tanah kebun saya dan ‘menetap’ di sini selama empat hari.

“Kumpulan gajah berkenaan datang pada hari Ahad. Seperti biasa, haiwan berkenaan akan memakan tanaman iaitu kelapa sawit, pisang atau kelapa.

“Kelapa sawit seluas empat ekar berkenaan pula baru sahaja saya tanam pada tahun ini. Namun sudah dirosak.

“Pada tahun lalu, ada kumpulan gajah datang memusnahkan tanaman saya. Kini bila saya baru sahaja tanam semula, sekali lagi ia dimusnahkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Ghani berkata, kehadiran gajah ke kawasan kebun dan rumahnya itu berlaku kira-kira empat kali setahun.

“Setiap tahun pasti akan ada kehadiran gajah. Saya atau orang kampung lain hanya dapat menghalau menggunakan suara dan sentiasa melihat pergerakan mereka dari jauh.

“Kami tidak berani dekat terutama jika haiwan itu sedang mendengus yang bermaksud ia sedang marah.

“Siapalah tidak takut dengan gajah yang bersaiz besar, Apalagi kalau sudah berpuluh ekor.

“Seperti baru-baru ini kami sekeluarga tidak dapat keluar dari rumah seharian apabila kumpulan gajah berkenaan ‘bergelimpangan’ mengepung rumah,” katanya.

Menurutnya, kawasan keliling rumahnya ketika ini dipenuhi najis gajah dan mereka bernasib baik kerana haiwan terbabit tidak agresif dan merosakkan rumah.

Katanya, selepas beberapa hari ‘tinggal’ di tanahnya, kumpulan gajah itu dipercayai bergerak ke kampung lain dan mereka ada dinasihatkan supaya memasang pagar elektrik.

“Namun saya belum mampu setakat ini. Sebelum ini kami ada cuba mendapatkan bantuan, namun belum ada yang menyalurkan.

“Hanya itu kaedah yang ada bagi menghalang gajah masuk ke kawasan kebun kami. Kos semuanya mungkin dalam RM5,000,” katanya, sambil berharap mendapat bantuan untuk memasang pagar daripada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 9:15 PM
ABDUL Ghani menunjukkan keadaan kebunnya yang kelihatan kosong selepas didatangi lebih 40 gajah di Kampung Sukau, Kinabatangan, pada Ahad hingga Rabu lalu. FOTO ihsan Abdul Ghani Kosoi.
ABDUL Ghani menunjukkan keadaan kebunnya yang kelihatan kosong selepas didatangi lebih 40 gajah di Kampung Sukau, Kinabatangan, pada Ahad hingga Rabu lalu. FOTO ihsan Abdul Ghani Kosoi.