POKOK sawit yang msunah diserang gajah.
POKOK sawit yang msunah diserang gajah.
Adnan Ibrahim

Kluang: Penduduk Kampung Seri Lukut, dekat sini, bimbang apabila sekumpulan sehingga 20 gajah dikesan memusnahkan tanaman kelapa sawit sejak seminggu lalu.

Setakat ini, 75 pekebun mendakwa mengalami kerugian ribuan ringgit selepas hasil tanaman mereka dimusnahkan kumpulan gajah terbabit.

Penduduk turut mempertikaikan keberkesanan pemasangan pagar sepanjang 18 kilometer di tepi kampung itu yang gagal mengelak diceroboh gajah liar.

Ketua Kampung Seri Lukut Hasbullah Muhamad berkata, sepanjang minggu ini, beberapa rumah penduduk menjadi mangsa gajah sehingga memusnahkan kawasan kebun mereka.

“Berdasarkan maklumat, serangan gajah kali ini luar biasa kerana membabitkan antara 18 hingga 20 gajah dan berlaku hampir setiap malam sepanjang minggu ini,” katanya.

Katanya, keadaan itu menimbulkan tanda tanya mengenai usaha memasang pagar gajah sejauh 18 kilometer termasuk beberapa lagi pendekatan lain yang tidak memberikan kesan serta gagal menjadi penghalang serangan.

“Akibat serangan berterusan, 75 pekebun kecil yang mengusahakan sawit, pisang, getah, pinang, tebu dan kelapa menanggung kerugian akibat dirosakkan gajah.

“Keadaan itu juga menyebabkan penduduk menubuhkan pasukan kawalan, selain bimbang keselamatan keluarga mereka,” katanya.

Hasbullah berkata, gajah menceroboh kawasan tanaman dan kampung antara jam 6 petang sehingga jam 7 pagi.

 Mohd Yusof melihat najis  gajah di dalam kebun kelapa sawit miliknya.
Mohd Yusof melihat najis gajah di dalam kebun kelapa sawit miliknya.

Dia berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil tindakan bagi mengelak masalah itu.

Pekebun, Mohd Yusuf Ibrahim berkata, serangan gajah itu bukan kali pertama berlaku, tetapi ia kejadian terbaru dan paling buruk apabila tanaman sawit seluas dua hektar miliknya musnah.

“Kami habis ikhtiar menghalang serangan haiwan ini, apa saja tindakan dibuat semuanya gagal dan tidak menampakkan hasil.

“Persoalannya sekarang sama ada pagar gajah yang dipasang masih berfungsi atau tidak kerana tidak pernah ada pemeriksaan dan penyelenggaraan daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PERHILITAN Johor Shazwan Faiz Mohd Rozi, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan menjalankan siasatan.

Katanya, pihaknya juga mengadakan pemantauan berterusan bagi memastikan haiwan terbabit tidak merosakkan tanaman atau kediaman penduduk.

“Laporan bahawa pagar gajah sepanjang 18 kilometer itu tidak berfungsi disiasat kerana penyelenggaraan secara berkala sepatutnya dilakukan pihak dilantik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 8:00 AM