Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Sarawak Volunteer tidak menyediakan bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan.

Penaungnya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi mengelak ada pihak yang menyalahtafsirkan bantuan itu sebagai elemen beli undi dan mengelak kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak lain termasuk individu untuk menaja tiket penerbangan bagi membolehkan pelajar berkelayakan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi muda.

"Kita tidak mahu jika Sarawak Volunteer menanggung kos tiket penerbangan pelajar, ada pula pihak yang akan mengaitkan NGO (badan bukan kerajaan) ini seolah-olah cuba membeli undi.

"Bagi mengelak ia menjadi kesalahan di bawah peraturan pilihan raya, Sarawak Volunteer mengambil pendirian untuk tidak menanggung tiket penerbangan pelajar balik mengundi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan PerantiSiswa di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Sulong Matjeraie dan Naib Cancelor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO FAIL/Arkib NSTP
DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO FAIL/Arkib NSTP

Sarawak Volunteer adalah NGO yang banyak melaksana kerja amal ada kaitan dengan kerajaan negeri Sarawak.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, perbincangan masih diteruskan dengan syarikat penerbangan berhubung isu tiket penerbangan.

"Saya dimaklumkan selepas perundingan sebelum ini, kos tiket penerbangan masih lagi tinggi dengan tambang Malaysia Airlines difahamkan RM550 sehala, manakala AirAsia pula RM300 sehala dan kita berharap kadar itu dapat dikurangkan lagi.

"Keduanya kita mahu syarikat penerbangan memberi jaminan jumlah penerbangan mencukupi bagi membawa balik belasan ribu pelajar kita di Semenanjung, selain memastikan kekerapan penerbangan ditambah dalam tempoh lima hari pelajar diberi cuti untuk balik mengundi dan balik ke Semenanjung semula," katanya.

Sebelum ini, Sarawak Volunteer menanggung kos tiket penerbangan pelajar Sarawak di Semenanjung, Sabah dan Labuan untuk pulang ketika perayaan, selain mengurus penerbangan membawa balik jenazah rakyat Sarawak yang meninggal dunia di Semenanjung.

Mengenai majlis, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berpuas hati dengan kelancaran projek Hospital Pengajar Unimas yang dibina sejak tahun lalu, meskipun berdepan cabaran akibat penularan Covid-19.

"Fasa pertama projek itu iaitu pembinaan klinik kesihatan dijadualkan siap September tahun depan, tetapi pihak Unimas memohon agar ia disiapkan lebih awal iaitu pada bulan Mei tahun depan, dan kita sudah berbincang dengan kontraktor untuk mencari kaedah terbaik bagi menyiapkannya lebih awal.

"Bagi keseluruhan projek iaitu sebuah hospital pengajar yang lengkap, jadual siap sepenuhnya ditetapkan pada 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 2:37 PM