GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk meneruskan pemberian bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tahun depan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, ketika ini pihaknya sudah memohon peruntukan bagi melaksanakan inisiatif untuk meringankan beban pelajar untuk bergerak antara wilayah.

Menurutnya, tahun ini seramai 56,000 pelajar menikmati inisiatif itu dan jumlah sama dijangka akan menerimanya apabila permohonan untuk melanjutkan subsidi itu tahun depan diluluskan.

"Sekarang sudah menghampiri penghujung tahun dan bermakna subsidi tahun ini juga sudah dimanfaatkan oleh 56,000 pelajar.

"Justeru, kerajaan bercadang untuk meneruskan pemberian subsidi pembelian tiket penerbangan itu untuk siswa kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Perasmian Pengoperasian Radar di Bawah Projek Penggantian dan Menaik Taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara Sabah dan Sarawak (KKFIR) di Stesen Radar Pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia di sini, hari ini.

Hasbi berkata, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu dinikmati semua pelajar dari Semenanjung yang akan melanjutkan pelajaran di IPT di Sabah dan Sarawak serta pelajar Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung.

Mengenai harga tiket penerbangan antara wilayah yang semakin mahal menjelang musim perayaan dan hujung tahun, Hasbi berkata, ia disebabkan tukaran mata wang yang semakin meningkat selain kenaikan harga bahan api.

"Kerajaan sedang meneliti langkah untuk menangani kenaikan harga tiket penerbangan pada musim perayaan bagi meringankan beban rakyat kita yang bergerak antara wilayah," katanya.

Mengenai proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings oleh kerajaan Sarawak, beliau berkata, perbincangan masih dijalankan antara Khazanah Nasional, kerajaan Sarawak dan Kementerian Pengangkutan.

"Antara perbincangan itu ialah berkaitan laluan penerbangan serantau kerana sebelum ini MASwings hanya menyediakan perkhidmatan udara luar bandar di Sabah serta Sarawak.

"Keputusan perbincangan itu dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata, projek KKFIR dengan peruntukan sebanyak RM183 juta melengkapkan sistem pengawasan radar dan liputan ruang udara secara menyeluruh di Sarawak dan dan Sabah.

Menurutnya, di bawah skop projek KKFIR itu, kerajaan meluluskan kerja menaik taraf sistem trafik udara dengan pemasangan peralatan trafik udara seperti Primary Surveillance Radar/Secondary Surveillance Radar (PSR/SSR) dan Automatik Defendent Surveillance-Broadcast (ADS-B).

"Projek itu antaranya penggantian radar di Kuching dan Kota Kinabalu, penggantian peralatan komunikasi di Miri, penggantian automasi pengurusan trafik udara di Kuching, Kota Kinabalu, Sibu, Tawau dan Miri," katanya.

HASBI merasmikan Majlis Perasmian Pengoperasian Radar. FOTO Nadim Bokhari
HASBI merasmikan Majlis Perasmian Pengoperasian Radar. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 1:47 PM