Mohd Roji Kawi

SARAWAK meneliti kaedah yang digunakan oleh negara lain khususnya China dalam memerangi pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, China berjaya menangani wabak itu berikutan pelbagai strategi yang dilaksanakan.

Justeru katanya, amat penting untuk mempelajari kaedah serta strategi negara itu dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini.

"Kerajaan Sarawak amat berterima kasih kepada China dan Kerajaan Persekutuan kerana menghantar pakar perubatan dari negara itu ke sini.

"Di Malaysia kita mempunyai pasukan yang berdedikasi untuk menangani wabak itu dan kita sudah menempuh jalan yang amat sukar yang tidak pernah dilalui sebelum ini dalam usaha kita membendungnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menerima kunjungan hormat lapan anggota pasukan pakar perunding perubatan China, di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Chin Zin Hing.

KUMPULAN pakar perunding perubatan China membuat lawatan rasmi ke UNIMAS dan berkongsi pengalaman dalam menangani penularan wabak Covid-19. Delagasi seramai lapan orang pakar diketuai oleh Dr Li Jun, disambut oleh Naib Canselor UNIMAS Datuk Profesor Kadim Suaidi. FOTO Nadim Bokhari
KUMPULAN pakar perunding perubatan China membuat lawatan rasmi ke UNIMAS dan berkongsi pengalaman dalam menangani penularan wabak Covid-19. Delagasi seramai lapan orang pakar diketuai oleh Dr Li Jun, disambut oleh Naib Canselor UNIMAS Datuk Profesor Kadim Suaidi. FOTO Nadim Bokhari

Pasukan perunding perubatan China itu diketuai oleh Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Guangdong, Dr Li Jun dengan disertai Dr Wen Miaoyun, Dr Zhang Youping, Dr Liu Tao, Dr Sun Jiufeng, Dr Yang Shifang, Dr Luo Xiaodan dan Dr Liu Xiangxin.

Uggah berkata, beliau berharap pasukan pakar itu dapat memerhatikan strategi dan pendekatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak itu khususnya di Sarawak.

"Paling penting, kami juga berharap pasukan perunding perubatan ini dapat berkongsi strategi dan pengalaman mereka dengan pasukan perubatan kami," katanya.

Selepas kunjungan hormat itu, pasukan perunding perubatan China itu mengunjungi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan.

Mereka yang disambut Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi, kemudiannya berkongsi pengalaman menangani Covid-19 dengan pakar universiti itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:37 PM