Mohd Roji Kawi

Kuching: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi menangani masalah kos tiket penerbangan yang tinggi antara Semenanjung ke Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat kerajaan Sarawak itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Anwar berkata, beliau juga sudah beberapa kali mengutarakan isu penerbangan antara wilayah itu dalam perbincangan dengan jemaah Menteri serta majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.

"Saya menerima cadangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik itu bagi membantu menangani kos penerbangan (antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak) yang terlalu tinggi.

"Kerajaan Sarawak mendepani dalam banyak hal seperti kenderaan elektrik, hidrogen serta gas dan dengan prestasi yang ditunjukkan itu, kita bersetuju dengan permohonan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian Raia Hotel and Convention Centre Kuching serta Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak Yatim di sini, hari ini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM), Datuk Othman Semail.

ANWAR bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Raia Hotel, Pusat Konvensyen dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak-Anak Yatim di Hotel Raia, Kuching. FOTO Nadim Bokhari.
ANWAR bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Perasmian Raia Hotel, Pusat Konvensyen dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Anak-Anak Yatim di Hotel Raia, Kuching. FOTO Nadim Bokhari.

Anwar turut memuji kaedah pengurusan pentadbiran kerajaan Sarawak dan ia harus menjadi contoh kepada negeri lain.

"Sarawak menunjukkan prestasi pengurusan yang cukup cemerlang dan ia harus dicontohi negeri lain.

"Pengurusan kerajaan negeri yang lemah bukan sahaja akan membebankan Kerajaan Persekutuan tetapi juga akan membebankan rakyat negeri itu sendiri, "katanya.

Menurutnya, beliau yakin dengan prestasi cemerlang itu, kerajaan Sarawak mampu menguruskan syarikat penerbangan butik yang dirancang itu.

"Pengurusan syarikat penerbangan bukannya mudah dan memerlukan pengalaman namun melihat prestasi kerajaan Sarawak saya setuju kerana yakin mereka boleh melakukannya," katanya.

Terdahulu Abang Johari dalam ucapannya meminta Anwar mempertimbangkan permohonan kerajaan Sarawak itu.

Menurutnya, Sarawak kini menjadi tumpuan pelawat termasuk dari Semenanjung untuk melancong ataupun urusan perniagaan, namun masalah utama yang dihadapi ialah mereka perlu menaiki penerbangan.

"Tidak ada cara lain yang mudah untuk ke Borneo kecuali menaiki kapal terbang, tetapi masalahnya tiket penerbangan terlalu mahal.

"Sekarang harga tiket penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur hampir sama dengan harga dari Kuala Lumpur ke Hong Kong," katanya

Menurutnya, hasrat kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik itu bukannya untuk bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada, tetapi bagi menstabilkan harga tiket.

"Sebab itu kerajaan Sarawak sudah bersedia untuk melabur dalam syarikat penerbangan kecil bagi merealisasikan hasrat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 7:39 PM