GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG penunggang maut selepas motosikal dinaiki hilang kawalan, dipercayai merempuh babi hutan di Jalan Lama Kampung Sumpitan, Lenggong, malam tadi.

Dalam kejadian 9.15 malam, Mohd Faizul Sharifudin, 37, disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dengan seekor haiwan dipercayai babi hutan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kejadian berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah Simpang Kampung Sumpitan menghala ke rumahnya di Kampung Gua Badak, Lenggong.

“Apabila tiba di tempat kejadian, penunggang terlanggar seekor binatang dipercayai babi hutan yang melintas secara tiba-tiba hingga mengakibatkan terjatuh dan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong dan mayatnya dihantar ke Hospital Grik untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Motosikal mangsa dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan dan sampel air kencing serta darah turut dihantar ke Jabatan Kimia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 4:04 PM