KEADAAN kereta yang terbabit di dalam kemalangan mengakibatkan seorang maut. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN kereta yang terbabit di dalam kemalangan mengakibatkan seorang maut. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Seorang lelaki maut manakala rakannya kritikal selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 76, Jalan Jerangau -Jabur, dekat Bukit Besi, petang tadi.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang itu, Ahmad Basri Muhammad, 32, yang bekerja sebagai buruh meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya, Zamri Mansol, 41, yang bekerja sebagai pencuci kereta cedera parah dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Zamri dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan dan terbabas selepas melalui satu selekoh tajam di situ.

"Berikutan itu, kereta mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Mat Yusof Embong, 56, yang datang dari arah bertentangan.

"Dalam masa yang sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di belakang MPV itu gagal membrek lalu melanggarnya,"katanya.

Baharudin berkata, sepasukan tujuh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk.

"Pasukan Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang duduk di sebelah pemandu yang tersepit dalam tempoh kira-kira 10 minit.

"Zamri yang cedera parah pada bahagian badan dan perut serta Mat Yusof yang cedera di bahagian perut dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan, "katanya.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Gual Periok Rantau Panjang kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut

"Polis menghubungi waris mangsa untuk memaklumkan kejadian itu dan kes berkenaan disiasat Mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 7:36 PM