GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas memuktamadkan pemilihan kerusi, Perikatan Nasional (PN) bakal mengumumkan senarai calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malam esok.

Selain senarai penuh calon, jumlah sebenar kerusi yang akan gabungan itu pertaruhkan juga akan diketahui esok.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), kira-kira 8 malam.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, gabungan itu dijangka akan bertanding lebih tiga perempat daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU-15, 19 November ini.

Katanya, PN sudah memutuskan untuk tidak bertanding di semua 222 kerusi Parlimen dan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi masih diteliti.

Semalam, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga memberi bayangan BN dijangka mengumumkan senarai calon bertanding membabitkan 166 kerusi Parlimen di Semenanjung, esok.

Setakat ini, PKR yang memutuskan bertanding di 75 kerusi Parlimen sudah mengumumkan 72 calon dan nama calon untuk tiga kerusi lagi masih menjadi teka-teki.

Selain itu, Amanah turut mengumumkan 54 calon parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 ini.

Pada masa sama, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang akan menggunakan logo sendiri juga akan mempertaruhkan calonnya di tiga kerusi Parlimen Kepala Batas, Tanjong Karang dan Tanjung Piai.

Sementara itu , Gerakan Tanah Air (GTA) yang sudah mengumumkan lapan calon awalnya bakal mengumumkan senarai penuh calon Parlimen pada 2 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 12:05 PM