Asrol Awang

Kuantan: Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah memuktamadkan pembahagian kerusi membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata ketika ini, PN Pahang hanya menunggu keputusan daripada Majlis Tertinggi PN Pusat.

Katanya, pada pilihan raya kali ini, PN Pahang mengesahkan akan bertanding semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang.

"PN Pahang akan bertanding di 14 Parlimen manakala DUN pula 42 kerusi. Dari segi pembahagian kerusi antara Bersatu, Pas dan Gerakan, ia sudah selesai dan kini menunggu keputusan daripada Majlis Tertinggi PN.

"Saya jangkakan senarai calon yang akan bertanding akan diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon," katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini hari ini.

SAIFUDIN Abdullah pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
SAIFUDIN Abdullah pada sidang media di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Mengulas sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin belum pasti bertanding di kerusi berkenaan.

Katanya, segala keputusan diserahkan kepada Majlis Tertinggi parti itu.

"Setakat ini, parti belum buat keputusan sama ada saya bertanding di sini (Indera Mahkota) atau di kawasan lain.

"Begitu juga jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu, Pas dan Gerakan setakat ini," katanya.

Pada PRU-14, Saifuddin menang kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 10,950 undi.

Ketika itu, Saifuddin mewakili Pakatan Harapan (PH) mendapat 28,578 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Johan Mat Sah (17,628 undi) dan calon Pas, Nasrudin Hassan (17,515 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:29 PM