ARTHUR Joseph Kurup. FOTO Arkib NSTP
ARTHUR Joseph Kurup. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) akur dengan keputusan akhir pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung pembahagian kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup berkata pihaknya hanya menyokong kenyataan dan pendirian BN seperti yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bergerak secara solo semasa menghadapi PRU-15.

"Kami juga menyokong untuk bergerak solo bersama BN. Walau bagaimanapun kami akan mematuhi apa pun pucuk pimpinan bakal putuskan.

"Buat masa ini, pucuk pimpinan bersedia untuk bergerak solo jadi kita pun akan bersedia untuk bergerak solo," katanya.

Menurutnya, keraguan dan kekeliruan yang disebabkan oleh Perikatan Nasional (PN) membuatkan pihaknya menyatakan pendirian terbabit.

"Saya rasa ada kesangsian. Apabila PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang baru-baru ini datang ke Sabah menyatakan mana-mana kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menangi akan menjadi milik PN. PN juga menyatakan Perdana Menteri adalah musuh utama kita, ia amat mengelirukan.

"Kami perlu jelas tentang cara untuk bergerak ke hadapan. Saya fikir kepimpinan di peringkat pusat sudah menyelesaikannya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

"Tetapi apa yang paling penting, kita perlu memastikan selepas PRU-15, negara kita dan rakyat kita perlu menikmati kestabilan kerana kita tidak mahu mengalami lagi ketidakstabilan yang menjejaskan ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Dalam pada itu, Arthur yang juga ahli Parlimen Pensiangan berkata beliau bersedia mempertahankan kerusi terbabit.

Katanya, pihaknya sudah menghantar senarai calon dan menjangkakan akan memperoleh lebih daripada satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 11:25 PM