Mohamed Farid Noh dan Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor yakin tidak menghadapi masalah untuk menawan 16 daripada 26 kerusi Parlimen negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata parti komponen terutama MCA dan MIC perlu memainkan peranan dan berusaha lebih gigih untuk menyumbang empat lagi kerusi sekali gus mencapai sasaran 20 kerusi yang ditetapkan.

Hasni yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor berkata, gabungan itu sudah merangka strategi dan pendekatan khusus dalam usaha mencapai sasaran diletakkan parti.

"Bukan mustahil untuk mencapai sasaran yang diletakkan pucuk pimpinan parti bagi memenangi 20 kerusi, oleh itu kita perlu bekerja keras dan tak menganggap ia (sasaran pucuk pimpinan) sebagai perkara remeh.

"Ini kerana ada kawasan di mana calon kita berdepan calon 'heavyweight' yang bertanding di Johor, namun berbekalkan semangat kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya dapat lihat memiliki semangat tinggi dan sama-sama berkempen pada PRU15 ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengenalan 26 calon BN Johor di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon BN di Parlimen Kota Tinggi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, calon BN di Pontian.

Sebelum ini, Hasni dilaporkan berkata akan bertanding 17 kerusi, tambahan satu kerusi iaitu Parlimen Simpang Renggam yang ditinggalkan GERAKAN.

Pada PRU14, UMNO bertanding 16 kerusi Parlimen, MCA lapan kerusi dan MIC satu kerusi.

Malam tadi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan mengingatkan kembali BN Johor supaya memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15 ini.

Mohamad dilaporkan berkata, kemenangan 20 kerusi Parlimen di Johor itu amat penting bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan dominan selepas PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi UMNO dan calon di Parlimen Simpang Renggam berkata, kempen yang berkesan akan memastikan usaha parti mendapat kepercayaan pengundi mampu dicapai.

Oleh itu katanya, BN Johor akan menggunakan kekuatannya menerusi kempen secara bersemuka kerana parti memiliki jentera dan jumlah petugas yang besar membantu calon berkempen ditambah jentera PRN Johor yang lalu yang utuh.

"Selain itu, kita juga akan memperkasakan kempen di media sosial untuk memberi impak secara meluas terutama menjawab isu semasa.

"Ini adalah kaedah kempen paling berkesan untuk menjawab isu berbangkit baik di peringkat tempatan, negeri dan nasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 2:38 PM
HASNI Mohammad (tiga dari kiri) ketika hadir Majlis Pengenalan dan Penyerahan Watikah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan  di Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
HASNI Mohammad (tiga dari kiri) ketika hadir Majlis Pengenalan dan Penyerahan Watikah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan di Jalan Yahya Awal, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan