Mohamed Farid Noh


Pontian: Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad memberi bayangan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, beliau mahu terus mengekalkan kerusi N53 yang disandangnya itu.

"Saya kalau boleh dan diberi peluang sekali lagi mahu bertanding di Benut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina di DUN Benut, di sini, hari ini.

DUN Benut adalah antara dua kerusi DUN yang terletak di dalam Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

Hasni adalah penyandang kerusi DUN Benut selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

HASNI selepas menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, Sabtu lalu. FOTO arkib NSTP
HASNI selepas menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, Sabtu lalu. FOTO arkib NSTP

Pada PRU14 lalu, Hasni menewaskan menewaskan calon BERSATU Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS) dengan majoriti 4,447 undi.

Ditanya mengenai laporan media bahawa adik kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari antara calon yang disebut-sebut bakal bertanding kerusi DUN Benut, sekali gus menentangnya pada PRN Johor nanti, Hasni hanya tersenyum.

"Lebih ramai, lebih meriah," katanya.

Hari ini media melaporkan, Aziz Shari, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian, bakal menentang Hasni M penyandang kerusi DUN Benut, yang dijangka bakal mempertahankan kerusinya itu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 5:49 PM