HASNI bersedia dicalonkan di luar kawasannya pada PRU-15. FOTO Bernama
HASNI bersedia dicalonkan di luar kawasannya pada PRU-15. FOTO Bernama
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau antara calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan bertanding di luar kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut itu berkata, jika itu adalah kehendak pucuk pimpinan parti, beliau akur dan tidak dapat mengelak perkara itu.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa saya dalam pertimbangan pucuk pimpinan (Umno) untuk disenaraikan bertanding bagi kawasan selain Parlimen Pontian.

"Itu pucuk pimpinan yang akan tentukan siapa bertanding di mana. Saya sendiri kalau diberi peluang bertanding sudah dikira bagus, itu yang penting, kerusi mana tidak kisah.

"Bagi saya, apa yang penting adalah kawasan seseorang calon itu dihantar untuk bertanding, dia harus menang, jadi kita letak calon yang mempunyai potensi besar untuk menang," katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baharu Al-Ikhlas Gadjet di Larkin Sentral di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat ura-ura Hasni akan bertanding di Parlimen Pontian bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang dikatakan akan bertanding di Simpang Renggam.

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, tindakan meletakkan calon luar itu bukan hanya untuk kepentingan seseorang individu sebaliknya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Selain itu, katanya, langkah itu bertujuan mengetengahkan potensi dan juga demi masa depan politik Johor.

"Jadi, kemungkinan bertanding di luar kawasan itu menjadi salah satu pertimbangan. Perkara ini juga penting dalam kita menyusun strategi untuk menawan sekurang-kurangnya 16 hingga 17 kerusi parlimen pada PRU-15, bulan depan," katanya.

Hasni berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku bantahan dalam kalangan penyokong setempat, tetapi pihaknya percaya Umno dan BN Johor mampu menghadapinya dengan bijak.

"Saya rasa reaksi awalan itu perkara biasa, pasti ada saja yang bertujuan untuk menidakkan calon, tetapi saya yakin pengalaman BN. Dalam menghadapi pilihan raya kita ada cara dan itu dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Ketika itu, ada juga pihak yang membantah, tetapi apabila tiba masanya sebagai ahli parti yang betul-betul berjuang, saya yakin dan percaya mereka akan jadikan perkara itu sebagai hal sampingan," jelasnya.

Sementara itu, Hasni berkata, pihaknya tidak berdepan masalah untuk meletakkan calon boleh menang di kerusi-kerusi parlimen yang ikonik buat kepimpinan parti lawan antaranya Parlimen Pagoh yang sinonim dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Umno tidak pernah kurang pemimpin, jadi saya tidak nampak ada masalah untuk letak calon boleh menang di Parlimen Pagoh, malah jentera BN di semua peringkat sedang digerakkan untuk memantapkan bahan kempen.

"Saya percaya apabila sampai masa selepas penamaan calon, jentera tidak akan berlengah lagi untuk memulakan kempen mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 8:17 PM