HASNI dijangka mempertahankan kerusi Dun Benut. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
HASNI dijangka mempertahankan kerusi Dun Benut. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Adik kepada Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari antara calon disebut-sebut bakal bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Aziz Shari, 33, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pontian, bakal menentang MB Johor, Datuk Hasni Mohammad penyandang kerusi Dun Benut, yang dijangka bakal mempertahankan kerusinya itu.

Desas-desus itu hangat diperkatakan apatah lagi Aziz adalah anak jati kelahiran Kampung Asam Kumbang, Benut, malah aktif dalam kerja kemasyarakatan bersama badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dan Benut sejak 2019.

Aziz ketika dihubungi berkata, masih terlalu awal baginya memperkatakan kemungkinan bakal dicalonkan di kerusi N53 bagi Dun Benut itu.

Katanya, sama ada dikemukakan sebagai calon adalah keputusan pucuk pimpinan PKR serta Pakatan Harapan (PH) Johor.

"Jika pucuk pimpinan PKR dan PH Johor memberikan peluang bertanding di Dun Benut, saya akan menerimanya. Namun, jika sebaliknya, saya terima dengan hati terbuka.

"Jika dicalonkan saya akan membawa aspirasi dan semangat anak muda, malah akan terus berkhidmat dan menyantuni setiap lapisan masyarakat dari kanak-kanak, warga emas selain insan memerlukan," katanya.

Dun Benut adalah antara dua kerusi Dun terletak di dalam Parlimen Pontian, selain Dun Pulai Sebatang.

Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri adalah penyandang kerusi Dun Benut selama tiga penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Pada PRU-14 lalu, Hasni menewaskan calon Bersatu, Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.

Sementara itu, Aziz yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan berpengalaman kerja di Majlis Daerah Pontian dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkata, beliau tidak gentar bertanding di Dun Benut walaupun kerusi terbabit adalah kubu kuat Umno.

"Dalam politik, perlu sentiasa bersedia dan jangan takut. Bagi saya, peluang untuk anak muda bertanding perlu dilihat sebagai kelebihan.

"Bagaimanapun saya menghormati Hasni yang lebih berpengalaman berbanding saya. Sejak PRU-14, saya bersama jentera AMK Pontian sudah mendekati masyarakat di Benut dan daerah Pontian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 3:17 PM