Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Institut Penyelidikan Klinikal (IRC) memulakan perbincangan berkaitan aspek penyediaan protokol dalam konteks kajian penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Pengarahnya, Datuk Dr Kalaiarasu M Periasamy berkata perbincangan itu turut membabitkan pakar perubatan dari luar negara berhubung pengendalian kaji selidik berkaitan kanabis perubatan.

"Buat masa ini kita dalam proses pembentukan protokol dan seterusnya kita perlu meneliti daripada segi etika, penggunaan, kesan sampingan dan sebagainya sebelum kita mendapat kelulusan.

"Kita berharap dengan mengadakan proses pembabitan bersama pihak berkepentingan, pengguna dan pakar kita dapat penyelesaian dari segi kajian dahulu dan kemudiannya membawa data kesesuaiannya (kanabis) berasaskan perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal 2022 yang dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan di sini, hari ini.

Dr Kalaiarasu menegaskan, pihaknya memerlukan data paling tepat berhubung penggunaan kanabis dalam negara meskipun terdapat negara menggunakannya lebih awal dan ia proses sama seperti dalam kajian lain yang perlu memenuhi syarat tertentu.

DR Kalaiarasu M. Periasamy ketika ditemui media pada Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal 2022. FOTO Mikail Ong
DR Kalaiarasu M. Periasamy ketika ditemui media pada Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal 2022. FOTO Mikail Ong

"IRC cuma (melaksanakan) dari aspek kajian sebelum membawa kepada penggunaan dan penyelidikan daripada situ kita dapat menjana data.

"Sama ada sesuai dan sebagainya perlu berbincang bersama pihak berkepentingan lain dan meneliti kesesuaiannya dan buat masa ini kita belum sampai pada tahap itu," katanya.

Terdahulu, Dr Muhammad Radzi berkata pandemik Covid-19 mengubah iklim penyelidikan dalam mempergiatkan usaha penyelidikan berasaskan data.

Beliau berkata penyelidikan berasaskan data, ketepatan data serta tafsiran adalah penting bagi memastikan sesuatu dasar yang dibuat adalah berasaskan bukti.

"Terdapat lebih 1,500 penyelidikan di bawah bidang kuasa ICR dan Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) dilakukan dalam tempoh 2019 hingga 2022.

"Projek penyelidikan yang dimulakan itu meliputi banyak bidang perubatan klinikal yang penting dan sering melangkaui skop percubaan yang ditaja industri.

"Kajian berkenaan memainkan peranan penting bagi memastikan ekuiti dan akses kepada terapeutik baharu bagi meningkatkan hasil kepada pesakit tanpa kepentingan komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 2:40 PM