GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

ISU penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan pada hakikatnya bukanlah sesuatu yang baharu dan ia kembali hangat diperkatakan apabila berita tangkapan penyanyi nasyid, Muhammad Yasin Sulaiman yang juga penghidap penyakit bipolar tular termasuk di media sosial.

Muhammad Yasin yang juga seorang komposer berdepan dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah, pada 31 Mac 2022.

Gangguan bipolar, sejenis penyakit mental melibatkan perubahan 'mood' atau perasaan secara luar biasa boleh membawa kepada kemurungan dan kegembiraan melampau (mania) secara berpanjangan sehingga menjejaskan aktiviti harian penghidapnya.

Antara kaedah rawatan yang lazim digunakan bagi merawat penyakit ini ialah ubat-ubatan, psikoterapi dan cadangan perubahan gaya hidup.

Di samping itu, tidak kurang juga ada yang memilih kaedah rawatan secara alternatif termasuk menggunakan kanabis atau ganja bagi tujuan sama.

BUKAN ISU BAHARU

Banyak pihak melontarkan pelbagai pandangan termasuk saranan agar kerajaan mempertimbangkan untuk 'menghalalkan' penggunaan bahan itu dalam bidang perubatan dan begitu juga sebaliknya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 17 Nov 2021 berkata, permohonan bagi penggunaan kanabis untuk perubatan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk dinilai dan didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk dipasarkan.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini tiada produk berasaskan kanabis digunakan bagi tujuan perubatan yang berdaftar di Malaysia.

Pada 12 April 2022, Kaukus Medical Cannabis dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu dasar berkaitan industri hemp (sejenis tumbuhan spesies ganja), ganja untuk perubatan dan ketum bagi kegunaan di Malaysia.

Sewaktu pertemuan itu Perdana Menteri dilaporkan memberi respons positif terhadap isu yang dibangkitkan.

Antara yang tampil memberi pandangan mengenai penggunaan ganja untuk tujuan perubatan ialah Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Malaysia, kata beliau, perlu memainkan peranan serius dengan mengambil tindakan progresif membenarkan penggunaan kanabis dan hemp terutama Cannabidiol (CBD) bagi tujuan perubatan.

Menurut Ahli Dewan Negara yang mewakili orang kurang upaya (OKU) itu lagi, langkah membenarkan penggunaan bahan berkenaan juga akan meningkatkan akses golongan OKU kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang sejahtera.

PERLU KAJIAN TERPERINCI

Turut berkongsi pandangan ialah Pakar Psikiatri dan Pakar Psikiatri Penagihan, Dr Firdaus Aziz yang menyatakan, setakat ini belum ada data dan kajian terperinci yang boleh mengesahkan kanabis selamat digunakan bagi tujuan perubatan.

"Ada kajian yang cuba melihat penggunaan kandungan atau bahan tertentu yang ada pada kanabis untuk rawatan psikosis tetapi belum ada data dan kajian konklusif mengenai keberkesanan dan keselamatan bahan tersebut. Penggunaan kanabis tanpa meneliti bahan serta potensinya boleh memudaratkan kesihatan.

"Terdapat komponen kimia utama atau CBD dan Tetrahydrocannabidiol (THC) yang menentukan tahap potensi kanabis. THC dikaitkan kesan psikosis, high dan keresahan, manakala CBD memberikan ketenangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Firdaus yang berkhidmat dengan salah sebuah hospital kerajaan di Sabah berkata, kebanyakan individu yang mengambil kanabis setakat untuk bersuka-sukaan akan fokus kepada kanabis yang mempunyai nilai kandungan THC yang lebih tinggi berbanding CBD.

Beliau turut mengingatkan, penggunaan kanabis secara berpanjangan serta dalam kuantiti yang banyak boleh memberi kesan kepada kesihatan mental individu yang mengambilnya dan berisiko untuk mengalami skizofrenia.

Di samping itu, kajian turut menunjukkan kesan negatif pesakit bipolar terhadap penggunaan ganja termasuk kes mencederakan bunuh diri.

"Dalam bidang psikiatri terdapat ubat psikotropik yang berkesan merawat gangguan bipolar antaranya ubat jenis mood stabiliser yang digunakan untuk menstabilkan mood dan mampu mengurangkan tindak balas ekstrem pesakit.

"Namun begitu, perlu ditekankan keberkesanan rawatan turut melibatkan aspek rawatan psikologi seperti kaunseling dan sosial iaitu sokongan daripada keluarga.

"Justeru, pesakit gangguan bipolar dinasihatkan untuk memahami risiko dan bahaya penggunaan kanabis bagi merawat penyakit itu dan mereka perlu bertanggungjawab dengan pilihan kaedah rawatan masing-masing," katanya.

PILIHAN SENDIRI

Sementara itu, Pakar Psikiatri dan Psikiatri Penagihan di Klinik Pakar Alaminda, Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berpendapat, individu yang menggunakan kanabis untuk merawat bipolar adalah sebagai perawatan diri sendiri kerana memilih cara sendiri merawatnya.

"Besar kemungkinan kandungan yang dimaksudkan (dalam kanabis) adalah sejenis Cannabinoids iaitu CBD dan THC, bagaimanapun ia memerlukan kajian saintifik yang spesifik sebelum dijadikan ubat untuk merawat gangguan bipolar kerana THC mempunyai kesan psikoaktif yang boleh menyebabkan pesakit bertambah teruk," katanya.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia menambah, penggunaan kanabis dalam jangka masa panjang memberi kesan kepada kesihatan individu seperti pembentukan sindrom kebergantungan atau penagihan, komplikasi fizikal seperti radang paru-paru yang menyebabkan penyakit radang saluran pernafasan dan kanser paru-paru," katanya.

TERAPI CARA KERJA

Dr Mohd Fadzli turut berkongsi kajian yang membuktikan penggunaan ubat-ubatan dan psikoterapi yang disokong oleh terapi lain seperti terapi cara kerja yang berterusan dapat mengawal gejala gangguan bipolar yang teruk.

"Saya berpendapat ganja perlu diberikan peluang untuk digunakan dalam bidang perubatan, namun kita perlu sabar dalam menunggu bukti dan dapatan ilmiah serta kajian saintifik yang kukuh sebelum menggunakannya dalam perawatan perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 5:59 AM