Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kajian menggunakan Ivermectin dalam kalangan kontak rapat kes indeks Covid-19 yang berusia 18 tahun ke atas.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (ICR), Dr Kalaiarasu M Pearisamy berkata, kajian itu membolehkan pihaknya mengetahui sama ada penggunaan Ivermectin berkesan mencegah kontak rapat daripada dijangkiti Covid-19 atau tidak.

Bagaimanapun, Dr Kalaiarasu berkata pihaknya kini masih menunggu kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melaksanakan kajian berkenaan.

"Diharapkan kajian ini dapat dilaksanakan secepat mungkin seawal bulan Disember, kita memerlukan 300 sampel untuk melaksanakan kajian ini di empat negeri terpilih membabitkan 10 fasiliti kesihatan di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus bersama media mengenai Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin kepada Penyakit Covid-19 dalam kalangan pesakit berisiko tinggi (Kajian I-Tech), secara maya, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) merangkap sebagai moderator pada sesi berkenaan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim; Ketua Penyelidik, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Steven Lim Chee Loon dan Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Datuk Dr C Suresh Kumar.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), pada 31 Mei lalu memulakan ujian klinikal bagi Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Ivermectin iaitu sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Dr Noor Hisham berkata, FDA tidak meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat dan mencegah Covid-19 ke atas manusia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya mengesyorkan penggunaan ubat itu dalam ujian klinikal, yang mana pesakit perlu dipantau dengan teliti oleh doktor pakar serta penyelidik berpengalaman.

Memperincikan mengenai kriteria yang diperlukan oleh pihaknya, Dr Kalaiarasu berkata individu berkenaan mestilah berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

"Mereka yang mempunyai ciri itu dipelawa untuk menyertai kajian ini, individu berkenaan akan menjalani ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebanyak dua kali iaitu sebelum kajian dilaksanakan dan pada hari kelapan.

"Individu ini juga perlu menjalani kuarantin serta dipantau dan menjalani beberapa ujian kesihatan. Ia sama dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh KKM untuk individu yang dikuarantin kerana kontak rapat dan kajian akan dijalankan ketika tempoh kuarantin.

"Dalam tempoh itu mereka akan diberikan Ivermectin selama dua hari iaitu pada hari pertama dan kedua. Kajian akan dihentikan selepas kita menerima jumlah sampel yang cukup, iaitu seramai 300 individu menyertai kajian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 3:01 PM