ANTARA kawasan di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang dilimpahi air. FOTO ihsan UPBN Selangor
ANTARA kawasan di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang dilimpahi air. FOTO ihsan UPBN Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Fenomena air pasang besar yang memasuki hari kedua menyebabkan Jalan Persekutuan (FT 05), dekat sini dilimpahi air, hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, limpahan air bermula 6.30 pagi itu dikesan memasuki longkang sekitar kedai di tepi jalan itu sebelum melimpah ke jalan utama.

"Limpahan besar yang memasuki sekitar kedai dan longkang jalan yang kemudian tidak mampu menampung lalu melimpah ke jalan.

"Malah, fenomena ini juga melepasi aras jalan majlis di pesisir Sungai Tengi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Faizal berkata, ketika ini tiada pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Kuala Selangor dan keadaan masih selamat dan terkawal.

Sementara itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) berkata, pihaknya yang melakukan pemantauan di beberapa lokasi pesisir pantai sekitar Kuala Selangor mendapati berlakunya limpahan air hingga menjejaskan laluan jalan.

Katanya, antara lokasi yang dipantau adalah Pantai Sungai Janggut, Pantai Remis, Pantai Jeram, Bagan Sungai Buloh, Bagan Pasir / Tok Adam dan Bagan Sungai Kajang.

Manakala di Sabak Bernam, kawasan pemantauan adalah Bagan Sekinchan, Sungai Nibong, Sungai Haji Dorani, Pasir Panjang, Bagan Sungai Besar, Bagan Nakhoda Omar (BNO) dan Parit Baru Baroh.

"Kita dapati berlaku limpahan di kawasan ini. Bagaimanapun, keadaan masih terkawal," katanya.

Terdahulu, media melaporkan fenomena air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 12:53 PM