LUKANISMAN (kanan) meninjau keadaan banjir di Bekenu. FOTO Facebook Lukanisman Awang Sauni
LUKANISMAN (kanan) meninjau keadaan banjir di Bekenu. FOTO Facebook Lukanisman Awang Sauni
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kampung di kawasan Bekenu, Miri, dinaiki air hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, air mula naik dan menenggelami jalan raya di beberapa kawasan mulai jam 8 pagi tadi.

Menurutnya, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cuba untuk pergi ke salah satu lokasi yang dinaiki air iaitu Kampung Subak, Bekenu, namun jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan.

"Air naik hampir satu meter menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui beberapa kawasan.

"Bagaimanapun, sehingga jam 2.15 petang tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dalam hantaran di Facebooknya berkata, tinjauannya ke Kampung Subak, Bekenu, mendapati beberapa rumah dimasuki air.

Menurutnya, dewan dan balai raya di kampung itu juga dimasuki air sekurang-kurangnya 0.5 meter.

"Jalan di kawasan Terahad dan Kampung Padang juga dinaiki air menyebabkan kenderaan kecil sukar untuk melaluinya.

"Saya turut menerima laporan daripada beberapa guru bahawa air mula memasuki kawasan sekolah,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 3:23 PM