ANTARA barangan dan senjata yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
ANTARA barangan dan senjata yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Kegiatan kumpulan samun dikenali Geng Acoi yang menyasarkan individu berjalan berseorangan di kawasan sunyi berakhir selepas lapan suspek ditahan polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepanjang Julai sehingga awal Ogos ini, polis menerima sebanyak enam kes samun berkawan menggunakan parang di sekitar Ampang Jaya.

"Kumpulan ini menyasarkan mangsa ketika berjalan berseorangan.

"Suspek menggunakan parang untuk menakutkan mangsa lalu merampas barangan seperti dompet, bag galas, wang tunai dan telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, peningkatan kes itu berlaku secara mendadak dan hampir setiap hari. "Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengesan penjenayah ini.

"Bermula 3 sehingga 6 Ogos lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melakukan beberapa siri serbuan di lima lokasi yang berbeza di Selayang, Gombak," katanya.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis menangkap lapan orang termasuk seorang wanita berusia antara 21 hingga 35 tahun.

"Seorang tangkapan bekerja sebagai pendawaian, manakala tujuh lagi suspek menganggur.

"Secara keseluruhan polis berjaya merampas 74 telefon bimbit dan tiga komputer riba yang dipercayai hasil samun," katanya.

Katanya, selain itu, turut dirampas tiga parang, empat pedang, dua pisau lipat, tiga pisau, sebilah kapak, dua power bank dan enam motosikal yang dipercayai digunakan sewaktu melakukan perbuatan samun.

"Hasil semakan rekod jenayah, hanya seorang tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala tangkapan lain mempunyai rekod jenayah dan narkotik. Salah seorang tangkapan masih dikehendaki bagi kes narkotik dan komersil.

"Reman terhadap kesemua tangkapan dilakukan selama seminggu dan enam tangkapan dapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menyelesaikan enam kes samun berkumpulan dengan senjata di Ampang Jaya dan satu kes di Gombak.

"Bagi mengaburi polis, suspek menggunakan secara bergilir dua motosikal dalam setiap kes samun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 1:12 PM