Mohd Azman menunjukkan antara barangan rampasan hasil penahanan Geng Dedek Shiah. FOTO MELVIN JONI
Mohd Azman menunjukkan antara barangan rampasan hasil penahanan Geng Dedek Shiah. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Polis berjaya menumpaskan Geng Dedek Shiah yang aktif melakukan jenayah samun dan curi di daerah ini, apabila tiga ahli kumpulan itu berjaya ditangkap.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 27 sehingga 43 tahun itu dicekup oleh Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 15 September lalu.

Menurutnya, mereka dicekup sehari selepas menyamun kedai 24 jam di Jalan Bayor Bukit, Tabuan Jaya.

"Dengan tumpasnya Geng Dedek Shiah, polis berjaya menyelesaikan enam kes iaitu empat kes samun, curi motosikal dan curi dalam bangunan di sekitar kawasan Kuching dengan anggaran jumlah kerugian kira-kira RM7,000," katanya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawk Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung dan Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Superintendan Ahsmon Bajah.

Mohd Azman berkata, modus operandi kumpulan itu adalah mensasarkan premis kedai 24 jam, mengacukan pisau pemotong daging untuk menakutkan mangsa, memakai topi keledar dan pelitup muka bagi melindungi identiti mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata dua daripada suspek masing-masing mempunyai 13 dan 15 rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

Selain itu, katanya kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Justeru, Mohd Azman berkata kesemua suspek direman bermula 16 sehingga 21 September ini untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:37 PM