LELAKI yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain pada 25 Februari lalu. FOTO Tular
LELAKI yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain pada 25 Februari lalu. FOTO Tular
Mohd Roji Kawi

Kuching: Lelaki yang menunggang motosikal secara melulu dan melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain pada 25 Februari lalu sudah ditahan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Beradek Ulu, di sini, kira-kira 10 malam.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes rompak dan samun.

"Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman tiga hari mulai hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 59 saat yang tular di media sosial, baru-baru ini, suspek yang memakai topi keledar menunggang motosikal secara melulu dan menentang arus sambil dilihat melakukan provokasi terhadap pengguna jalan raya lain.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Tabuan Tranquality, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 3:26 PM