Rosli Ilham


Dungun: Murid yang hilang ketika mandi bersama lima rakan di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali di sini, petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Mayat Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, ditemukan oleh lima ahli keluarganya yang melakukan pencarian dasar sungai bersama anggota bomba dan polis, jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ahli keluarga mangsa bersama pihak berkuasa melakukan pencarian sebaik air sungai mula surut.

Menurutnya, pencarian itu berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 12 meter dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian ,"katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Abdul Rafiuddin bersama empat rakannya, Muhammad Qhalish Iman Hazimi, 12; Muhammad Aqil Shafie, 12; Wan Adip Hakimi Wan Ahmad Khairuddin, 12; dan Raja Muhamad Anas Raja Ibrahim, 12; mandi di sungai itu, kira-kira 6 petang.

Selain Raja Muhammad Anas, mereka berempat kemudiannya berjalan untuk bermain di atas tebing pasir di situ dalam jarak kira-kira 30 meter dari darat.

Kesemua mereka bertindak berenang selepas air sungai secara tiba-tiba naik, sebelum Abdul Rafiuddin dan Muhammad Qhalish lemas.

Muhammad Qhalish berjaya diselamatkan dua rakannya itu, namun Abdul Rafiuddin gagal diselamatkan sebelum mangsa tenggelam ke dasar sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:22 AM
BOMBA dan polis mengangkat mayat mangsa sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA dan polis mengangkat mayat mangsa sebelum dihantar ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan Bomba