ANGGOTA bomba melakukan pencarian sejauh tiga kilometer dari lokasi remaja lelaki dan rakannya dikhuatiri lemas. FOTO  ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan pencarian sejauh tiga kilometer dari lokasi remaja lelaki dan rakannya dikhuatiri lemas. FOTO ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Bera: Pihak bomba menjalankan pencarian sejauh tiga kilometer dari lokasi remaja lelaki dan rakannya dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, pencarian itu dijalankan menggunakan bot di sepanjang laluan berkenaan.

"Selain itu, kita juga ada penyelam yang membuat dua selaman pada jarak antara 75 hingga 100 meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas serta pencarian menggunakan bot bersama Unit Anjing Pengesan (K9) sejauh satu kilometer.

"Hasil pencarian dilakukan, kami menemui pelampung yang dipercayai digunakan oleh mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

"Setakat ini, kedua-dua mangsa, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, dan Muhammad Danial Irsyad Norazlan, 11, masih belum ditemui.

"Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa berkenaan masih diteruskan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dan rakannya berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika sedang mandi di Sungai Triang berdekatan jeti Kerayong.

Kedua-duanya mangsa adalah antara lapan kanak-kanak lelaki yang pergi berenang di sungai itu pada 3.30 petang.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 2:53 PM