Balqis Jazimah Zahari


Seri Iskandar: Umno Perak memuktamadkan bahawa tiada kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama yang terjalin buat masa ini adalah sebagai rakan dalam kerajaan negeri saja.

"Sebagai rakan dalam kerajaan, kita bekerjasama tetapi untuk pilihan raya kita pergi sendiri, muktamad," katanya.

Minggu lalu, media melaporkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno membuat keputusan untuk bergerak solo meskipun Pas mahu mempertahan Muafakat Nasional (MN).

Media turut melaporkan Saarani menyangkal dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap kenyataan Ahmad Zahid bukan pendirian Umno secara keseluruhan.

Abdul Hadi menganggap kenyataan Ahmad Zahid tidak mewakili pendirian Umno secara keseluruhan berikutan parti itu masih mempunyai kepimpinan kanan serta ahli akar umbi.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan Perak akan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti, selepas ia diwartakan di peringkat Persekutuan.

"Kita akan mengadakan selepas RUU peringkat nasional diwartakan, baru kita boleh panggil sidang DUN sebab kita akan menggunakan jadual lapan," katanya.

SAARANI melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak Pilihan Raya Umum ke-15 di Taman Meru Permai Ipoh. FOTO L Manimaran
SAARANI melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak Pilihan Raya Umum ke-15 di Taman Meru Permai Ipoh. FOTO L Manimaran

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 3:02 PM