Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: BN Perak mengumumkan manifesto dengan meletakkan matlamat yang didukung oleh lima usaha, empat fokus serta menggariskan sebanyak 75 inisiatif yang akan dilaksanakan sebaik saja mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani berkata, manifesto yang diumumkan adalah kesinambungan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebelum ini dan bukan semata-mata untuk memasuki medan PRU-15.

"Manifesto ini dipetakan berdasarkan kajian yang teliti serta dibina hasil garapan idea, pandangan dan pengharapan segenap lapisan rakyat Perak yang mahukan sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.

"Lima usaha yang digariskan dalam manifesto BN Perak adalah kestabilan politik, kepimpinan dan pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kesejahteraan ekonomi, kemakmuran sosial.," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri Perak Pilihan Raya Umum Ke-15 di Padang Permainan Meru Raya, Taman Meru Permai di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak itu berkata, bagi menjayakan usaha murni itu BN Perak akan turut memberikan penekanan kepada empat fokus utama.

"Empat fokus itu adalah sekuriti makanan, pendidikan rakyat, perumahan rakyat dan kesihatan rakyat," katanya.

SAARANI melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak Pilihan Raya Umum ke-15 di Taman Meru Permai Ipoh. FOTO L Manimaran
SAARANI melancarkan Manifesto Barisan Nasional Negeri Perak Pilihan Raya Umum ke-15 di Taman Meru Permai Ipoh. FOTO L Manimaran

Dalam pada itu, bagi usaha kestabilan politik BN Perak bertekad untuk memastikan kestabilan kerajaan sentiasa diutamakan bagi membolehkan ekonomi berkembang, pekerjaan dicipta, pelabur dibawa masuk dan membina naratif politik baharu yang menjamin kestabilan demi kesejahteraan rakyat dan negeri Perak.

"Dengan tekad dan semangat itu, BN Perak berikrar memperkenalkan beberapa inisiatif untuk memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

"Antara inisiatif itu termasuklah memastikan Enakmen Anti Lompat Parti dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Dun) selaras dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Peringkat Persekutuan, "katanya.

Tambahnya, jika berjaya mendapat mandat dua per tiga, BN Perak akan berusaha meminda Enakmen Perlembagaan negeri bagi melantik Adun dari kumpulan minoriti dan golongan belia.

"Selain itu, meneruskan peruntukan adil dan saksama kepada semua kawasan Dun bagi memastikan nasib setiap lapisan rakyat terbela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 11:36 PM