PELAJAR KKMT memberi penerangan mengenai peralatan bagi program Sijil Teknologi Elektrik  kepada Noraini (tengah).
PELAJAR KKMT memberi penerangan mengenai peralatan bagi program Sijil Teknologi Elektrik kepada Noraini (tengah).
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Masjid Tanah: Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) menganjurkan Program Women's Empowerment 2022 (PoWEr@KKMT2022) bagi membantu wanita menceburi bidang keusahawanan.

Program selama dua hari itu dikelola Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), KKMT dengan membabitkan seramai 80 peserta wanita terdiri daripada ibu tunggal dan golongan B40 dari sekitar Masjid Tanah, Melaka.

PoWEr@KKMT2022 akan membantu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keterampilan diri peserta untuk menceburi bidang keusahawanan yang semakin berkembang luas ketika ini.

Ia bagi memberi bimbingan, pengetahuan kepada peserta untuk menjana pendapatan dan meneroka peluang yang ada seterusnya dapat merangsang pertumbuhan sosio-ekonomi.

Antara kursus kemahiran yang ditawarkan sepanjang program itu adalah penghasilan kek marble jelita, jahitan bantal bunga, kraftangan (decoupage) dan tanaman hiasan.

Kursus itu bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran penghasilan pelbagai produk dalam bidang masakan, jahitan, kraftangan dan landskap yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran masa kini.

Selain itu, kursus asas keusahawanan juga disediakan kepada peserta bagi membantu mereka menghasilkan teknik pemasaran kreatif dan inovatif dalam memberikan nilai daya saing kepada produk yang dihasilkan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, penganjuran program seumpama itu dapat memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat setempat untuk menimba pengetahuan dan kemahiran baharu yang dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

NORAINI menyaksikan Program DSC menerima peralatan daripada Global Rail Sdn Bhd bernilai RM350,000 melalui ICP di bawah kendalian TDA.
NORAINI menyaksikan Program DSC menerima peralatan daripada Global Rail Sdn Bhd bernilai RM350,000 melalui ICP di bawah kendalian TDA.

Menurutnya, wanita pada masa kini kian bergerak maju dalam pelbagai bidang dan ia terbukti apabila Forum Ekonomi Dunia (WEF) melaporkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global pada 2022 secara keseluruhannya terus meningkat iaitu di posisi ke-103 daripada 146 buah negara berbanding tangga ke-112 pada 2021.

Katanya, keempat-empat subindeks iaitu pencapaian pendidikan, penyertaan dan peluang dalam sektor ekonomi, kesihatan dan kelangsungan hidup serta pemerkasaan dalam bidang politik turut menunjukkan peningkatan ranking yang positif.

"Kita percaya bahawa pencapaian itu disumbangkan secara tidak langsung oleh aktiviti dan program yang menumpukan kepada pemerkasaan wanita dalam komuniti oleh kerajaan.

"Dalam erti kata lain, kerajaan sentiasa cakna serta prihatin terhadap agenda pemerkasaan wanita di negara ini," katanya ketika berucap di majlis perasmian penutup PoWEr@KKMT2022, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Zainab Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat KKMT Datuk Latipah Omar dan Pengarah KKMT Zaidi Othman.

Turut diadakan pada majlis penutup itu ialah pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat KKMT.

Menurut Noraini lagi, kolej komuniti perlu lebih berani untuk ke hadapan untuk menyantuni akar umbi kerana ia bukan sahaja berperanan mendidik masyarakat malah menjadi jambatan antara kerajaan dan komuniti dalam menyampaikan maklumat tepat.

Kata beliau, kolej komuniti juga berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan kerana ia paling dekat dengan rakyat.

"Kolej komuniti diminta mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan terutama pelajar cemerlang yang tidak mahu teruskan pengajian kerana kekangan kewangan.

"Sampaikan maklumat itu kepada JPPKK atau pihak kementerian untuk membolehkan kita sama-sama membantu," katanya yang turut berkongsi kisah inspirasi kejayaan seorang wanita bernama Joy Mangano (daripada filem Joy) yang tidak berputus asa dalam menempuh pelbagai cabaran dan konflik demi memajukan diri.

Sementara itu, pada majlis yang sama turut diadakan pertukaran Certificate of Collaboration (CoC) yang dimeterai antara KKMT bersama Global Rail Sdn Bhd iaitu syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi signal dan komunikasi rel.

Kolaborasi itu bakal menjadi platform kerjasama dalam pertukaran idea dan teknologi bagi Program Diploma in Rail Signalling and Communication Technology (DSC) ditawarkan di KKMT.

Program DSC turut menerima peralatan daripada syarikat berkenaan yang bernilai RM350,000 melalui Industrial Collaboration Program (ICP) di bawah kendalian Technology Depository Agency (TDA).

Antara peralatan yang diterima ialah mesin pengubah laluan kereta api, isyarat lampu tiga aspek dan pengalir voltan tinggi dan besi landasan kereta api.

Sumbangan peralatan itu bakal memberikan impak besar kepada Program DSC bagi membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan kemudahan peralatan yang dilengkapi teknologi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 3:41 PM