Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA), Dr Sharoul Jambari (dua dari kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad, Datuk Hanifah Nordin (kanan) dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Centre Of Cybersecurity di UiTM Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA), Dr Sharoul Jambari (dua dari kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad, Datuk Hanifah Nordin (kanan) dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor (dua dari kanan) pada Majlis Perasmian Centre Of Cybersecurity di UiTM Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Syarikat pembekal solusi teknologi, Datasonic Group Berhad buat julung kali menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di bawah seliaan Technology Depository Agency (TDA) ini menerusi Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi membangunkan fasiliti makmal keselamatan siber.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hanifah Nordin berkata, tiga bidang utama dalam program kolaborasi itu adalah pemindahan teknologi dan pengetahuan, pembangunan sumber manusia, serta penyelidikan, pembangunan, dan pemasaran digital 'sandbox' dan 'dashboard'.

"Ia adalah satu inisiatif berpandangan jauh untuk memanfaatkan Big Data Analytics bagi menangani ancaman keselamatan siber.

"Selaras dengan ini, Datasonic menaja penambahbaikan makmal Sekuriti Siber di Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Makmal ini akan menjadi hab tindak balas dan pencegahan ancaman sekuriti siber. Kami di Datasonic amat berbesar hati di atas peluang yang diberikan untuk bekerjasama dengan UiTM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan di Majlis Perasmian Makmal Sekuriti Siber yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA) Dr. Sharoul Jambari dan turut dihadiri, Naib Canselor UiTM, YBhg. Professor Datuk Dr. Roziah Mohd Janor, di sini hari ini.

Hanifah berkata, sebagai salah satu syarikat peneraju dalam industri keselamatan ICT negara khususnya, penyediaan persekitaran dan platform bagi penyelidikan dan pembangunan berkaitan sekuriti siber ini amat sinonim dengan Datasonic.

"Bukan itu sahaja, digital sandbox dan dashboard ini bakal membolehkan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan lain mengakses dan menganalisis ujian penyelidikan yang dijalankan dalam kerangka keselamatan siber kami.

"Ketelusan ini penting dalam mempromosikan penambahbaikan berterusan dan berdaya tindak balas terhadap cabaran-cabaran baharu.

"Ia akan mewujudkan pengadaptasian digital yang holistik untuk mereka mendapat manfaat ekonomi digital dengan pengetahuan bersesuaian, dalam usaha menuju ke arah negara digital yang kukuh," katanya.

Dalam pada itu beliau berharap, projek berkenaan akan dapat memberikan manfaat sebaiknya oleh pelajar dalam mendapatkan pengalaman praktikal dan gambaran mengenai teknologi terkini yang akan memperkuat pertahanan siber secara kolektif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 7:24 PM