Amir Abd Hamid


Serdang: Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya dapat menjana kira-kira RM7 bilion jumlah nilai kredit menerusi 121 inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP).

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, daripada nilai ICP RM7 bilion itu, RM2.6 bilion adalah kerja MRT dilakukan di negara ini, dibuat oleh pihak tempatan yang membabitkan kira-kira 4,200 kakitangan.

Beliau berkata, data itu menunjukkan kebolehan dan kejayaan syarikat tempatan dalam membangunkan industri rel dan tren tempatan.

"Majlis hari ini adalah amat penting bagi MRT Corp kerana pada hari ini kesemua 49 set tren bagi MRT Laluan Putrajaya sudah siap dan selamat diserahkan ke Depoh MRT Serdang.

"Terakhir yang ke 196 yang membabitkan 49 set tren untuk laluan Putrajaya. Pihak MRT Corp hari ini sudah menerima kesemuanya yang mengandungi 60 peratus kandungan tempatan jika dibandingkan MRT 1 Laluan Kajang.

"Ini adalah pencapaian yang penting bagi projek MRT Laluan Putrajaya, di kawasan Serdang-Putrajaya dan Cyberjaya ini ia terletak dalam Fasa Dua, dijangka beroperasi pada Januari 2023," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis meraikan penyempurnaan Inisiatif Program Kolaborasi Industri (ICP): Pengilangan Tren Elektrik di bawah Projek MRT Laluan Putrajaya, di Depoh MRT Serdang, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Raja Khairul Anuar Raja Abd Karim itu bersempena simbolik dengan penghantaran set tren elektrik terakhir dari Kilang SMH Rail Sdn Bhd di Rasa, Selangor ke Depoh MRT Serdang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency Berhad (TDA) Dr Sharoul Jambari, Ketua Pegawai Kewangan MRT Corp Shahrul Fadli Omar, Pengerusi dan Pengarah Urusan SMH Rail Sdn Bhd (SMH Rail) Datuk P K Nara dan Konsular Kedutaan Republik Korea di Malaysia Ahn Jinae.

MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) meliputi jajaran sepanjang 56.2 kilometer dan mempunyai 36 stesen, untuk kedua-dua fasa, bermula dari stesen Kawasan Damansara ke Putrajaya.

Sementara itu, Shahrul dalam ucapannya berkata, sekian lama Malaysia sudah bergantung kepada pembekal dari luar negara.

"Kami hanyalah pengguna dan amat sukar bagi syarikat tempatan untuk sektor berteknologi tinggi ini, terutamanya untuk kerja sistem di mana keupayaan tempatan amat kurang.

"Ia sudah mula berubah. Dasar kerajaan seperti Program Kolaborasi Industri ini seperti sudah diamanahkan kepada TDA Sdn Bhd memberikan peluang kepada industri tempatan bekerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk mempelajari teknologi ini," katanya.

Turut berlangsung hari ini, pemeteraian kerjasama Inisiatif ICP: Pemindahan Teknologi dan Kepakaran bagi pengilangan tempatan komponen rel Cab Mask dan Coupler Hatch oleh syarikat Hyundai-Rotem Company dan Nova FRP Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 4:38 PM
RAJA Khairul Anuar (tengah) bersama Mohd Zarif (kanan) dan Dr Sharoul (kiri) selepas merasmikan simbolik penyerahan tren. FOTO Hazreen Mohamad
RAJA Khairul Anuar (tengah) bersama Mohd Zarif (kanan) dan Dr Sharoul (kiri) selepas merasmikan simbolik penyerahan tren. FOTO Hazreen Mohamad