GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang lelaki maut selepas kepalanya tersepit di antara dua kontena dalam kejadian di sebuah terminal kontena, di sini, tengah malam semalam.

Kejadian jam 12.35 tengah malam itu dilaporkan berlaku apabila mangsa warga tempatan berusia 23 tahun sedang menjalankan kerja mengubah kontena kosong.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan berhubung insiden berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja sub kontraktor di terminal kontena terbabit yang dia dilantik untuk menjalankan kerja mengangkut kontena kosong menggunakan prime mover (lori terminal) dari jeti ke kawasan penyimpanan kontena kosong.

"Ketika kejadian mangsa yang ditugaskan sebagai pemandu lori terminal dipercayai sedang memeriksa 'seal' pintu kontena yang sedang disusun di atas kepala lori.

"Pada masa sama, seorang pekerja lain menolak kontena terbabit dengan menggunakan jentera pengangkut kontena untuk merapatkan kedudukan kontena di atas kepala lori tanpa menyedari mangsa sedang berada di situ," katanya.

Jelasnya, ekoran itu berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kepala mangsa tersepit di antara dua kontena setinggi 6.1 meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Susulan daripada kemalangan itu juga JKKP negeri mengeluarkan notis larangan dan lokasi kejadian serta kenderaan yang digunakan disita serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 11:11 PM