Air Terjun Seri Perigi di Yan antara lokasi pusat peranginan yang berisiko berlaku kejadian kepala air. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Air Terjun Seri Perigi di Yan antara lokasi pusat peranginan yang berisiko berlaku kejadian kepala air. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 21 lokasi pusat rekreasi air terjun dan sungai di 12 daerah di negeri ini yang berisiko berlakunya kepala air.

Sebelum ini, JBPM Kedah hanya mengenal pasti 18 lokasi yang berisiko berlaku kejadian itu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pusat rekreasi di negeri ini yang berisiko berlaku kejadian itu adalah 39 lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, ia membabitkan pusat rekreasi di Baling, Bukit Kayu Hitam, Guar Chempedak, Kulim, Kuala Nerang, Sungai Petani, Langkawi, Pendang, Bandar Baharu, Sik, Jitra dan Yan.

Menurutnya, sebanyak 11 lokasi yang dikesan di Baling termasuklah Lata Celak Iboi (Kupang), Teratak Simpul (Kampung Weng Dalam), Air Panas (Ulu Legong), Kuala Kedua dan Lubuk Badak (Jalan Ulu Legong), Sungai Pam (Kampung Luar Doing), Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.

"Surau Sungai Batu di Bukit Kayu Hitam juga dikenal pasti berisiko berlaku kepala air selain Kem Rekreasi Puteri Mandi, Taman Rekreasi Sungai Badak dan Sungai Bukit Kuari di kawasan Guar Chempedak.

Mohamadul Ehsan Mohd Zain
Mohamadul Ehsan Mohd Zain

"Selain itu, Kem Rekreasi Sungai Sedim, Kem Rekreasi Ulu Paip di Karangan dan Lata Bukit Hijau dan Pusat Rekreasi Air Putih Junjung di Kulim, manakala Pusat Rekreasi dan Peranginan Bukit Wang di Jitra berisiko berlaku kejadian itu," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, di Padang Terap pula terdapat dua lokasi tumpuan pelancong iaitu Taman Eko Rimba Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya Jalan Padang Sanai juga tidak terkecuali dari berlakunya kejadian kepala air.

Katanya, di Langkawi terdapat , empat lokasi iaitu Lubuk Semilang, Durian Perangin, Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun manakala di daerah Pendang adalah di Rimba Rekreasi Bukit Perak di Sungai Tiang dan air terjun Batu Hampar Air Putih di daerah Bandar Baharu.

"Tiga kawasan tumpuan di Kuala Muda adalah di air terjun Batu Pahat Muzium Arkeologi, Damai Park Resort dan Pusat Peranginan Tupah.

"Di Sik, lima kawasan peranginan iaitu Lata Mengkuang, pusat peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral di Jeneri.

"Di Yan pula, tiga kawasan yang berisiko berlaku kepala air adalah di Titi Hayun, air terjun Seri Perigi dan air terjun Batu Hampar," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, kesemua lokasi terbabit adalah di bawah kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Bukit Kayu Hitam, Guar Chempedak, Sik, Kulim Hi-Tech, Kulim, Pendang, Serdang, Sungai Petani, Sik, Yan, Jitra dan Kuala Nerang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi terbabit dan meninggalkan kawasan itu terutama ketika hujan lebat.

Katanya, antara tanda-tanda kepala air akan berlaku di kawasan itu adalah air bertukar menjadi keruh, air mengalir laju dengan disertai ranting kayu serta daun kering, deruan air dari atas gunung atau bukit serta awan bertukar gelap di bahagian atas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 4:40 PM