Zuliaty Zulkiffli


Yan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan memberi tumpuan khusus di lima daripada 18 lokasi berisiko berlakunya kepala air di negeri ini berikutan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, lima lokasi terbabit adalah Bukit Wang di Jitra, Surau Batu di Sintok, Gunung Jerai / Titi Hayun di Yan, Sungai Sedim di Kulim dan air Terjun Temurun di Langkawi.

Beliau berkata, selain itu Sungai Lata Celak, Iboi di Baling juga antara lokasi berisiko susulan kejadian kepala air yang berlaku pada 4 Julai lalu sehingga mengorbankan tiga nyawa.

"Selain itu, lokasi lagi adalah di air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.

"Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim dan Sungai Ketil di Baling dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Peringkat Zon 2 JBPM Negeri Kedah 2022 di Pantai Murni, di sini hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 10 pasukan Bomba Komuniti Zon 2 ditubuhkan membabitkan daerah Kuala Muda dan Yan untuk membantu pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran.

Sayani berkata, pasukan Bomba Komuniti ini bertindak menjaga keselamatan penduduk selain menyalurkan maklumat kepada pihak bomba sekiranya berlaku ancaman banjir kilat atau banjir lumpur yang berlaku di Yan tahun lalu serta Baling, Julai lalu.

Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti di air supaya mengambil langkah keselamatan sekiranya hujan lebat yang menyebabkan aliran sungai berubah warna, daun kering hanyut supaya beredar dengan segera dari kawasan itu.

"Dengan adanya Bomba Komuniti ini, kita percaya mereka akan membantu pihak Bomba meluaskan maklumat kepada masyarakat setempat dan pengunjung yang datang ke tempat perkelahan.

"Setakat ini di Bomba Komuniti di Kedah mempunyai sebanyak 61 pasukan iaitu seramai 893 orang dan akan menambah keahlian dari masa ke semasa di setiap daerah mengikut zon.

"Selepas ini, kita akan tubuhkan Bomba Komuniti di Zon 3 iaitu di daerah Kulim berhampiran dengan Sungai Sedim dalam usaha untuk menambah keahlian lebih ramai menyertai pasukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 5:31 PM
Sayani Saidon (tengah) menyampaikan Sijil Bomba Komuniti kepada anggota Bomba Komuniti pada Program Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Zon 2 JBPM Kedah di Pantai Murni. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sayani Saidon (tengah) menyampaikan Sijil Bomba Komuniti kepada anggota Bomba Komuniti pada Program Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Zon 2 JBPM Kedah di Pantai Murni. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI