FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti 18 lokasi pusat peranginan di negeri ini yang kerap berlakunya fenomena kepala air.

Antara kawasan terbabit adalah air terjun Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani; Air Terjun Batu Hampar di Yan serta Air Terjun Temurun, Jalan Datai; Hutan Lipur Lubuk Semilang dan Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi.

Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang; Sungai Kuala Sedim dan Air Terjun Ulu Paip di Kulim; Air Terjun Bukit Hijau, Air Terjun Lata Bayu, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi dan Sungai Ketil di Baling serta Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang.

Dua lagi lokasi tumpuan ramai adalah Air Terjun Lata Mengkuang, Perangin dan Tasik Beris di Sik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua lokasi itu tidak selamat dikunjungi ketika perubahan monsun timur laut berlaku.

Beliau berkata, monsun timur laut dijangka melanda antara Oktober hingga November ini termasuk di kawasan utara yang akan menyebabkan hujan lebat serta banjir kilat dan kejadian air pasang besar.

"Fenomena air pasang besar dijangka berlaku antara 17 hingga 20 Oktober ini yang akan menyebabkan ombak setinggi hampir tiga meter.

"Kawasan yang akan menerima kesan termasuk di pesisir pantai di Kuala Kedah, Kuala Muda dan Langkawi dan nelayan bot kecil dinasihatkan supaya tidak turun ke menangkap ikan pada waktu ini kerana ia boleh mengundang bahaya," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, orang ramai juga dinasihatkan menjauhi kawasan peranginan air terjun dan sungai kerana bimbang berlaku kepala air yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Beliau berkata, sekiranya ternampak kesan seperti air keruh mendadak, ranting kayu dan daun berselerak mengalir laju dalam air selain deruan kuat dari atas puncak bukit atau hulu sungai, jauhi kawasan berkenaan.

"Jangan tunggu lagi, segera beredar dari kawasan itu kerana bimbang kepala air akan berlaku di situ yang boleh mengancam keselamatan pengunjung di situ.

"Seeloknya ketika keadaan cuaca sekarang ini, elakkan mengunjungi kawasan perkelahan termasuk di pantai sungai dan bukit untuk mengelak kejadian ini berlaku," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan dari segi aset dan jentera supaya sentiasa dalam keadaan baik selain lima kali latihan bagi menghadap monsun timur laut ini.

Beliau berkata, setakat ini cuti anggota tidak dibekukan dan hanya 20 peratus dibenarkan bercuti sekiranya berlaku kecemasan manakala 80 peratus anggota lagi melakukan tugasan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 4:19 PM