Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang ramai supaya mengelak mengunjungi tempat rekreasi di negeri ini yang boleh mendatangkan risiko berlakunya kepala air serta banjir kilat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pemantauan dilakukan pihaknya di kawasan perkelahan yang berisiko berlakunya kejadian itu untuk memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

Beliau berkata, buat masa ini orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi kawasan peranginan terutama di kawasan air terjun, sungai dan tepi laut.

"Ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung termasuk lemas dan sebagainya.

"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti angin dan hujan selain fenomena air pasang memang tidak digalakkan untuk mengunjungi kawasan berkenaan terutama di 18 lokasi berisiko berlakunya kepala air di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian kepala air yang berlaku di kawasan perkelahan Lata Sedim, Kulim semalam yang ditular di aplikasi Tik Tok.

Dalam kejadian 4 petang itu, seorang pengunjung pusat rekreasi itu dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu dan hampir lemas namun berjaya diselamatkan orang awam.

Mohamadul Ehsan berkata, pihaknya turut menghantar pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim untuk melakukan pemantauan di kawasan peranginan itu.

Dalam pada itu, Mohamadul Ehsan berkata, 18 lokasi pusat rekreasi di negeri ini yang dikenal pasti berisiko berlaku kepala air adalah di Titi Hayun di Yan selain kawasan air terjun di Junjung di Kulim, Pusat Rekreasi Tupah di Merbok Sungai Petani, Air Terjun Batu Hampar di Yan, Air Terjun Temurun, Jalan Datai di Langkawi, Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi.

Selain itu, Hutan Lipur Puncak Janing di Kuala Nerang, Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi, Sungai Kuala Sedim di Kulim, Air Terjun Ulu Paip di Kulim, Air Terjun Bukit Hijau di Baling, Air Terjun Lata Bayu di Baling, Air Terjun Lata Mengkuang di Sik, Perangin di Sik, Tasik Beris di Sik, Sungai Kulim, Lata Celak Iboi di Baling.

Dua lagi lokasi tumpuan ramai iaitu di, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Empangan Pedu di Kuala Nerang.

Selain itu katanya, pihaknya turut melakukan pemantauan di Kuala Kedah dan Kuala Muda berikutan fenomena air pasang besar yang melanda sejak kelmarin.

Beliau berkata, empat BBP iaitu Alor Setar dan Jalan Raja melakukan pemantauan di Kuala Kedah manakala BBP Sungai Petani dan Yan di Kuala Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:51 PM