Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan memberi fokus di 39 kawasan 'hot spot' kawasan peranginan di negeri ini ketika fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

Antara pusat peranginan terbabit termasuklah di Kubang Pasu (2), Guar Chempedak (3), Kulim (4), Padang Terap (2), Langkawi (4), Pendang (1), Bandar Baharu (1), Kuala Muda (3), Sik (5), Yan (3) dan 11 kawasan di Baling.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, tumpuan sepenuhnya diberikan di daerah Baling terutamanya di Kampung Iboi, Kupang kerana berlakunya kejadian berulang kepala air berbanding di Titi Hayun, Yan tahun lalu.

Beliau berkata, Baling mempunyai 11 pusat rekreasi yang banyak berbanding daerah lain iaitu Lata Celak Iboi, Teratak Simpul (Kampung Weng Dalam), Air Panas (Ulu Legong), Kuala Kedua dan Lubuk Badak (Jalan Ulu Legong), Sungai Pam (Kampung Luar Siong), Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.

"Potensi air untuk melimpah balik memang ada kerana di puncak gunung itu jika berlakunya hujan lebat, bahagian atas kurang kejab (tidak kuat) dan aliran air yang banyak akan tuju ke sungai yang ada.

"Akibat kesan kejadian kepala air yang berlaku di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu turut menyebabkan aliran sungai pun ada berubah termasuk di bahagian atas Gunung Inas," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat JPBM Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Sayani berkata, struktur tanah juga sudah longgar menyebabkan ia tidak boleh menampung air apabila berlakunya hujan lebat di hulu dan dalam tempoh tiga atau empat jam saja ia akan sampai ke hilir kampung di bawah.

Beliau berkata, tugas pasukan penyelamat sekarang ini adalah melakukan pemantauan terus ke lokasi sekiranya hujan melebihi dua jam.

"Sekiranya kita dapati paras air sungai dalam bahaya, kita akan maklumkan kepada penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah dengan membawa dokumen penting bersama mereka.

"Hubungan erat agensi berkaitan dalam penyelamatan termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) juga makin padu sejak kejadian itu berlaku di daerah itu Julai lalu," katanya.

Sayani berkata, pihaknya akan mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Keselamatan Aktiviti Di Air di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai di Kupang Baling untuk mempertingkatkan kepekaan, kesedaran masyarakat baling yg tiggal berhampiran sungai bukan di Kampung Iboi tetapi penduduk di daerah itu yang mempunyai banyak pusat peranginan.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati masih ramai yang pergi berkelah di sekitar kawasan peranginan di situ namun penduduk yang tinggal di pesisir sungai di situ juga lebih berisiko kerana mereka berada di 24 jam.

Dalam pada itu, Sayani berkata, selain itu pihaknya turut mengenal pasti 218 lokasi berisiko berlakunya banjir di negeri ini iaitu Kota Setar (32), Kubang Pasu (16), Padang Terap (7), Pokok Sena (4), Sik (21), Baling (52), Pendang (5), Bandar Baharu (14), Kulim (25), Kuala Muda (17) Yan (6) dan Langkawi (19).

Beliau berkata, kawasan itu juga akan diberi tumpuan sekiranya berlaku banjir untuk memastikan operasi penyelamatan dilakukan dengan teratur dan berjalan lancar.

"JBPM Kedah sudah bersedia dari segi aset logistik dan keanggotaan termasuk akan mengarahkan pegawai serta anggota bekerja pada bila-bila masa sekiranya berlaku lagi kejadian seperti itu berulang.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di setiap daerah juga turut melakukan pemantauan di kawasan peranginan yang berisiko yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, bantuan untuk kerja penyelamatan dilakukan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 12:38 PM