M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pas mengingatkan perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti Melayu Islam yang berselerak sebelum ini, menyebabkan umat menjadi lemah sehingga kehilangan kuasa politik bagi memerintah negara.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kini bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berpecah sebelum ini.

Tegasnya, parti itu juga mahu menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak esktrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera pada masa hadapan.

"Pas memperkenalkan pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. Pas menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

"Pada masa sama, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

"Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

ABDUL Hadi menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Luqman Hakim Zubir
ABDUL Hadi menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Luqman Hakim Zubir

Abdul Hadi berkata, bagaimanapun kerjasama dalam perpaduan mempunyai sempadan dan hanya dalam perkara kebaikan serta taqwa berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan keadilan, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah.

Katanya, disebabkan itu jika seseorang itu berdosa dan insaf, maka dibuka pintu taubat dan pengampunan ke atasnya.

"Namun, Pas tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat.

"Malah, Pas tidak memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

"Justeru, Pas menolak sesiapa saja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta'awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menentukan bentuk kerjasama itu, mandatnya diserah kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Segala kemungkinan selepas pilihan raya juga akan ditentukan demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-15.

"Pas terus berpegang teguh dengan Aqidah Islamiah dan memilih pendekatan demokrasi dengan menyertai semua pilihan raya, walaupun tidak dinafikan masih terdapat banyak kelemahan dan salah laku seperti penipuan, politik wang dan rasuah.

"Dalam hal ini, Pas tetap mendahulukan pendekatan damai, politik berdakwah dan memainkan peranan mengilmukan masyarakat yang tenggelam dalam kejahilan terhadap Islam serta ketinggalan dalam kefahaman politiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 11:26 AM