SUASANA Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan ARMADA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SUASANA Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi dan ARMADA. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Rohaniza Idris dan Mohd Husni Mohd Noor dan Hashini Kavishtri Kannan

SEMUA pimpinan Pakatan Harapan (PH) bersepakat untuk mendokong kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, kedudukan agama Islam akan terus terpelihara di bawah pentadbiran kerajaan PH.

"Walaupun jelas di depan mata kita bahawa kedudukan agama Islam terus terpelihara, UMNO dan PAS terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan di mata umat Islam.

“Ini adalah amalan politik yang amat tidak sihat. Selain meracuni pemikiran umat Islam dengan pelbagai fitnah, penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada BERSATU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, malam ini.

Muhyiddin berkata, jika tidak dibendung, amalan politik kotor ini akan turut mempengaruhi pelbagai kumpulan dalam masyarakat dan memusnahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini.

Beliau berkata, selepas UMNO dan PAS kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kedua-dua parti ini mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Modal politik mereka hari ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah membangkitkan sentimen perkauman orang Melayu supaya menentang kerajaan PH.

“Mereka menabur fitnah kononnya orang Islam sudah tidak selamat di Malaysia, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam akan terjejas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan dihapuskan dan undang-undang membenarkan amalan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) dan perkahwinan sejenis akan diluluskan oleh Parlimen,” katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa BERSATU tidak menggunakan slogan Islam, sebaliknya melaksanakan Islam.

“Kita tetap mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam.

“Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita," katanya.

Justeru, katanya, beliau ingin mengajak umat Islam supaya bersama-sama BERSATU dan kerajaan PH dalam perjuangan membela umat Islam di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 10:48 PM