M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Sumpah baiah yang dilaksana Pas ke atas setiap pemimpinnya yang menjadi calon pilihan raya dilihat lebih berkesan berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang baru diluluskan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun sifat iman dan takwa terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa yang dapat mengatasi hukum Allah dan Rasul.

"Perkara ini ditegaskan dalam perlembagaan Pas bahawa hukum Allah dan Rasul adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada pemimpin utama dan calon pilihan raya melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

"Langkah ini lebih berkesan daripada undang-undang lompat parti yang baru saja diperkenalkan," katanya ketika Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan baiah yang lebih hebat daripada undang-undang kini yang luput tarikhnya.

ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP

"Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana mereka kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin atau dipecat dengan tindakan disiplin.

"Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang dan sentiasa menambah ahli, kawasan, cawangan serta penyokongnya.

"Pas membuktikan pelaksanaannya di negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas," katanya.

Beliau berkata, sejarah dunia membuktikan sumber harta dan tenaga manusia tanpa pembangunan insan yang menyeluruh berteraskan aqidah dan taqwa, tidak akan mampu membawa kesejahteraan di alam dunia dan akhirat.

"Keadaan ini dialami Malaysia yang mencapai kemerdekaan lebih setengah abad dan pernah membawa slogan Wawasan 2020. Situasi ini berlaku dalam keadaan kita mempunyai sumber hasil bumi dan tenaga manusia daripada berbagai kaum yang sepatutnya dapat dimanfaatkan.

"Apa yang berlaku bantuan kepada rakyat tidak sampai kepada sasaran, sehingga ia laksana mencurah garam ke laut. Mengapa peruntukan yang besar berlaku kebocoran? Ini menunjukkan ada perkara yang salah dan wujud kelemahannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 11:51 AM