PERWAKILAN yang hadir di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
PERWAKILAN yang hadir di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Hairulazim Mahmud dan Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Naib Presiden PAS Idris Ahmad menyifatkan ucapan dasar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS ke-63 satu ucapan menyeluruh yang menerangkan bagaimana Islam dapat menyelesaikan segala permasalah rakyat.

Menurutnya, ucapan Presiden PAS menyeluruh dan menjawab beberapa persoalan yang kononnya beliau selama ini tidak bercakap mengenai isu negara termasuk hal keperitan rakyat.

"Cumanya beza sedikit di mana beliau bercakap berkenaan Islam menyelesaikan segala permasalahan rakyat dan menolak tohmahan beliau tidak bercakap soal skandal dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Yang kedua jelas PAS hendak tukarkan sistem bukannya orang semata-mata kerana hanya orang yang ditukar ia akan berulang dan masalah rakyat tetap tidak selesai," katanya ketika ditemui selepasucapan dasar dan perasmian muktamar di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Sementara itu,Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Syed Hassan Syed Ali berkata, ucapan dasar Presiden PAS itu jelas melihat parti itu kembali menumpu kepada perjuangan Islam.

"PAS sekarang bebas dengan ikatan dan lebih mudah untuk bersuara dalam menjuarai isu-isu berkaitan Islam serta Melayu.

"Ini yang orang Melayu tengah tunggu di mana kita dapati ada parti-parti sekarang masih terbelenggu dengan pakatan mereka tetapi PAS nampaknya bebas sekarang ini dan inilah harapan kepada Umat Islam di negara ini untuk terus memperjuangkan Islam tanpa rasa takut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 2:30 PM