M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pas yakin menang sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berdasarkan prestasi semasa dan sokongan diterimanya setakat ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu juga dijangka mampu mengekalkan pentadbiran di tiga negeri yang dikuasainya ketika ini iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, Pas juga berpotensi menang beberapa kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang selain kerusi di negeri lain.

"Kita kena kerja bersungguh-sungguh supaya daripada 18 kerusi Parlimen yang ada, dapat meningkat seberapa banyak yang boleh.

"Minimum pada pandangan dan perhitungan kita, kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi Parlimen," katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Jentera Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di sini, malam tadi.

PENYOKONG Pas pada Majlis Ijtimak Jentera Pilihanraya Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENYOKONG Pas pada Majlis Ijtimak Jentera Pilihanraya Pas sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mohd Amar berkata, adalah tidak mustahil sasaran menang 40 kerusi Parlimen dicapai sekiranya usaha ke arah itu dimulakan jentera dan ahli parti di setiap negeri.

"Dulu kita tidak pernah terfikir boleh jadi kerajaan di Kedah, tetapi Allah kurniakan kemenangan di Kedah zaman arwah Ustaz Azizan (Tan Sri Azizan Abdul Razak). Di Johor, Allah takdirkan calon Umno silap isi borang dan kita menang percuma di DUN Senggarang.

"Tidak ada orang terfikir Umno akan tumbang di Malaysia pada PRU-14, dengan kuasa Allah, akhirnya (Umno) hilang kuasa di Malaysia. Sebab perjuangan Islam ini kita tidak perlu risau, tidak ada perkara mustahil," katanya.

Untuk rekod pada PRU-14 pada 2018, parti itu menang 18 kerusi Parlimen iaitu sembilan di Kelantan, Terengganu (enam) dan Kedah (tiga).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 10:45 AM