M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan beliau sudah dipanggil ke Bukit Aman dan bakal menjawab sepenuhnya isu kenyataan berbaur perkauman di mahkamah.

Presiden Pas itu berkata, beliau turut bersedia dipanggil lagi pihak polis, sekiranya diminta berbuat demikian untuk siasatan lanjut.

"Saya sudah dipanggil ke Bukit Aman dan disoal dan sudah jawab soalan, selanjutnya saya akan jawab di mahkamah.

"Kalau dipanggil lagi (polis), saya akan pergi," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, Abdul Hadi dalam kenyataannya mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara.

ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hadi. FOTO Arkib NSTP

Berikutan itu, beliau disiasat mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 10:19 PM