Paya Linda Yahya


Gua Musang: Dua keluarga berdepan detik mendebarkan apabila rumah mereka di landa banjir lumpur selama sejam di Kampung Gua Air, PosPulat, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, seorang mangsa kerugian lebih RM20,000 apabila kolam ikannya turut ditenggelami banjir lumpur.

Mangsa, Zulkifli Abdul Rahman, 53, berkata, ketika kejadian dia bersama enam ahli keluarga dan dua pekerja terpaksa menyelamatkan diri ke tempat yang lebih tinggi.

"Banjir lumpur itu menyebabkan semua ikan yang berada di dalam kolam hanyut di bawa arus. Anggaran kerugian kira-kira RM20,000 kerana semua ikan sudah boleh dijual.

"Kejadian berlaku terlalu pantas, ketika itu hujan lebat dan air naik secara mendadak sehingga kami terpaksa berlari menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di Kampung Gua Air, Pos Pulat, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, ikan yang dihanyutkan banjir lumpur itu ada yang berjaya di tangkap oleh penduduk kampung, namun semuanya diberikan kepada mereka.

Seorang lagi mangsa, Yusri Omar, 37, berkata, kejadian itu adalah yang terburuk sejak dia tinggal di kampung itu lima tahun lalu.

Katanya, kejadian berlaku jam 10 malam dan ketika itu hujan sangat lebat.

"Ketika kejadian, hujan sangat lebat dan air naik begitu cepat, sambil mendukung anak, saya meredah air setinggi paras lutut menyelamatkan diri. Bimbang rumah yang didiami akan dihanyutkan arus deras.

"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku, tetapi kereta saya rosak dan semua makanan di rumah dihanyutkan air.

"Selepas sejam, air telah surut dan saya kembali ke rumah. Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ini ada ujian Allah buat kami anak beranak," katanya yang tinggal bersama anak perempuan berusia lapan tahun.

Yusri berkata, kejadian banjir lumpur kerap berlaku di kampung itu setiap kali hujan lebat, namun banjir yang berlaku ini adalah yang terburuk.

"Ada ketikanya sebulan berlaku sehingga lima kali banjir lumpur di kawasan rumah saya, tetapi yang semalam adalah yang terburuk sehingga kolam ikan yang saya usahakan secara kecil-kecilan juga dihanyutkan arus deras," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 12:52 PM
YUSRI menunjukan kolam ikan yang diusakan dilanda banjir lumpur. FOTO Paya Linda Yahya
YUSRI menunjukan kolam ikan yang diusakan dilanda banjir lumpur. FOTO Paya Linda Yahya