Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Penternak ikan kerugian lebih RM400,000 apabila ikan keli dan patin yang diternak terlepas, susulan kolam ditenggelami banjir.

Mohd Sharif Che Hak, 62, berkata, tiga daripada lima kolam yang menempatkan 80,000 ikan berkenaan, tenggelam selepas hujan lebat pada Jumaat lalu.

Katanya, kejadian bermula 4.30 petang dan dalam tempoh sejam air naik mendadak sehingga empat meter, menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa.

"Ketika itu, saya berada di atas wakaf yang terletak berhampiran kolam dan hanya mampu melihat ikan keli dan patin dihanyutkan arus yang deras.

"Saya hanya mampu bertawakal kepada Allah SWT selain menunaikan solat hajat agar tidak semua ikan di dalam kolam dihanyutkan arus, "Kejadian itu menyebabkan saya kerugian ratusan ribu ringgit berdasarkan harga ikan keli dan patin yang dijual pada RM6 sekilogram," katanya ketika ditemui di kolam ikannya di Kampung Kenor di sini, hari ini.

Mohd Sharif yang juga pesara Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) bersyukur kerana dua kolam lagi masih mempunyai ikan.

Katanya, setiap bulan dia akan memasukkan 10,000 benih ikan bagi menampung permintaan daripada pemborong, pasar dan juga asrama sekolah di sekitar daerah.

"Pada hari biasa, saya menjual 1,800 kilogram (kg) ikan keli dan talipia kepada pemborong di Pasar Sri Guchil, namun ketika Ramadan permintaan meningkat sehingga 3,000 kg sehari yang turut dipasarkan ke Gua Musang," katanya.

Sebelum ini, bapa enam anak dan 12 cucu itu pernah mengalami kerugian hingga RM600,000 ikan daripada enam kolam hanyut banjir pada 2014.

Dia juga berharap kerugian dialami itu mendapat perhatian dan bantuan Jabatan Perikanan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Mohd Sharif Che Hak menangkap saki baki ikan ternakannya yang masih ada di dalam untuk dijual. FOTO/ HAZIRA AHMAD ZAIDI
Mohd Sharif Che Hak menangkap saki baki ikan ternakannya yang masih ada di dalam untuk dijual. FOTO/ HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 3:57 PM