AHMAD Radzi  membersih barangan rumahnya.
AHMAD Radzi membersih barangan rumahnya.

Yan: Penduduk Kampung Singkir Genting, di sini, menyifatkan kejadian banjir kilat pada petang kelmarin adalah insiden terburuk disebabkan bukan saja air sungai yang naik mendadak melimpah tetapi turut membawa lumpur tebal menyebabkan banyak perabot dan peralatan elektrik rosak kerana gagal diselamatkan.

Malah, kejadian banjir lumpur yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan lebih 100 buah rumah di Kampung Singkir Genting dan Kampung Singkir Darat dipenuhi lumpur, selain ada kenderaan turut dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila hujan lebat lebih satu jam menyebabkan air dari kuari berdekatan serta kaki Gunung Jerai memasuki Sungai Singkir sebelum melimpah berikutan tidak mampu menampung jumlah air begitu banyak.

Penduduk Kampung Singkir Genting, Ahmad Radzi Abu Yazid, 61, berkata, banjir kilat yang berlaku kali ini adalah terburuk sejak dia menetap di kampung berkenaan lebih 50 tahun lalu dan keadaan didakwa bertambah buruk dengan kehadiran projek kuari di kawasan berhampiran sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, banjir kilat memang kerap berlaku, tetapi air hanya naik setinggi 0.3 meter saja berbanding kejadian mengejutkan berlaku petang kelmarin kerana air naik begitu cepat hingga ke paras hampir satu meter, malah turut membawa lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 8:27 AM