Amirul Amin Amirruddin didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas. FOTO BERNAMA
Amirul Amin Amirruddin didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lepas. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Klang: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh teman wanitanya dalam kejadian pada minggu lalu.

Tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 19, didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, di sini jam 7.18 malam pada 24 Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd Jusan.

Amirul Amin didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Althea Suraya Rahmat.

Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat, forensik dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 25 Ogos lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan mati dipercayai akibat ditekup menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:19 PM